02/06/2026
HIMPUNAN KEBAJIKAN DAN KEPRIHATINAN SOSIAL PAS NEGERI PAHANG 2026
Telah berlangsung dengan jayanya Himpunan Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Negeri Pahang pada 1 Jun 2026 yang menghimpunkan para aktivis kebajikan dan keprihatinan sosial dari seluruh Negeri Pahang di Kompleks Al Makmur, Kerdau.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pn. Rohaya Razali, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Negeri Pahang, yang menzahirkan penghargaan kepada seluruh peserta serta menyeru agar gerak kerja kebajikan terus diperkasakan sebagai medium mendekati masyarakat.
Majlis seterusnya telah dirasmikan oleh Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS, yang turut menyampaikan amanat berkaitan kepentingan memperkukuhkan agenda kebajikan dan keprihatinan sosial dalam masyarakat.
Turut berlangsung beberapa sesi pembentangan yang memberikan pencerahan serta perkongsian berkaitan gerak kerja kebajikan dan keprihatinan sosial, antaranya:
▪️ Tn. Muhammad Faizal Che Yusof (Timbalan Pengerusi 3 LKKSPP) yang membentangkan mengenai Skuad Prihatin.
▪️ YB Tn. Nurul Amin Hamid (Timbalan Pengerusi 4 LKKSPP) yang membentangkan mengenai Keprihatinan Sosial dan Skuad Upaya.
▪️ Tn. Sahaini Ahmad Safian (Ketua Unit SkimPAS Pusat) yang membentangkan mengenai SkimPAS sebagai instrumen kebajikan dan perlindungan untuk ahli serta masyarakat.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran YB Ustaz Maliaman Kassim, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Negeri Terengganu, bersama para pimpinan serta aktivis kebajikan dari pelbagai kawasan di Negeri Pahang.
Himpunan ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan jaringan kebajikan, menyelaraskan gerak kerja di peringkat negeri dan pusat serta berkongsi pengalaman dalam usaha menyantuni masyarakat yang memerlukan.
Semoga himpunan ini dapat meniupkan semangat baharu kepada seluruh aktivis untuk terus istiqamah dalam kerja-kerja kebajikan, memperluaskan khidmat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang, serta menjadikan medan kebajikan sebagai jambatan dakwah dan rahmat kepada semua.
"Kebajikan Disantuni, Keprihatinan Diperkasa."
💚