15/05/2026
MOHAMED ISMAIL DIPILIH PENERIMA SULUNG ANUGERAH GURU KURANG UPAYA CEMERLANG
Pada hari ini dalam tahun 2005, Mohamed Ismail, guru cacat penglihatan sejak lahir dipilih sebagai penerima sulung Anugerah Guru Kurang Upaya Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru 2005 Peringkat Kebangsaan di Seremban, Negeri Sembilan. Anugerah tersebut disampaikan oleh YB Dato’ Sri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Pelajaran. Guru Sejarah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nilam, Kuala Terengganu, Terengganu itu mula menjadi guru sejak tahun 1981. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dan Sosiologi serta Diploma Sejarah dan Bahasa Melayu dari Universiti Malaya (UM). Selain menjadi guru, beliau juga menyandang beberapa jawatan lain seperti Yang Dipertua Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia dan Naib Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari https://hids.arkib.gov.my atau muat turun aplikasi HIDS di Google Play Store dan Apple App Store.HIDS juga bersiaran di:
1) RTM TV pada pukul 6.59 pagi, 12.59 tengah hari, 4.59 petang dan 7.59 malam.
2) 31 stesen radio milik RTM