30/05/2026
Kenyataan Media
Garis Panduan Rumah Ibadat Selain Islam
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa LIMAS telah mengadakan mesyuarat yang melibatkan Persatuan-persatuan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao di Negeri Selangor berhubung garis panduan bagi rumah ibadat di kawasan komersial.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Pengarah PlanMalaysia Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan wakil-wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pertama, semua persatuan telah diberikan jaminan bahawa matlamat garis panduan ini hanya untuk pembangunan kawasan komersial baharu.
Ini bermaksud bahawa garis panduan ini tidak terpakai untuk rumah ibadat yang sudahpun wujud di kawasan komersial sedia ada di seluruh Selangor.
Sebaliknya, tujuan garis panduan ini adalah untuk membolehkan perancangan yang lebih tersusun di kawasan pembangunan baharu supaya tanah yang digazetkan untuk rumah ibadat mengikut keperluan penduduk terletak berhampiran kawasan perumahan.
Meskipun begitu, Kerajaan Negeri memahami bahawa sebilangan persatuan memilih untuk beroperasi di kawasan komersial dan industri sebagai langkah praktikal bagi memenuhi keperluan ibadat keagamaan komuniti setempat.
Memandangkan situasi ini, persatuan-persatuan memohon supaya Kerajaan Negeri dapat memberikan ruang untuk bangunan komersial digunakan sebagai rumah ibadat di kawasan yang baharu, tertakluk kepada syarat-syarat kebenaran merancang dan dinilai secara positif mengikut kes demi kes oleh PBT.
Persatuan-persatuan yang hadir turut memohon supaya proses kebenaran merancang dapat dipermudahkan untuk kemudahan persatuan-persatuan baharu.
Kerajaan Negeri memberikan jaminan bahawa Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 dan Perkara 11 akan terus dipelihara, iaitu agama Islam sebagai agama Persekutuan, dan setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama masing-masing.
Jawatankuasa LIMAS akan berhubung rapat dengan persatuan agama terbabit untuk mendapatkan maklum balas supaya garis panduan ini dapat ditambahbaik, terus bersifat inklusif dan sentiasa membolehkan rakyat Selangor hidup secara berharmoni dengan memahami satu sama lain.
YB NG SZE HAN
YB DATO’ NG SUEE LIM
YB PAPPARAIDU A/L VERAMAN
PENGERUSI BERSAMA
JAWATANKUASA KHAS AGAMA BUDDHA, KRISTIAN, HINDU, SIKH DAN TAO (LIMAS)
30 MEI 2026