24/08/2026
Sebelum mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya melalui aplikasi seperti WhatsApp, adalah lebih baik kita mendapatkan penjelasan berdasarkan fakta dan sumber yang sahih.
Umami ialah rasa asas kelima yang dapat dikesan oleh lidah manusia, selain rasa manis, masam, masin dan pahit. Rasa ini terhasil apabila reseptor pada lidah mengesan sebatian glutamat (glutamate), iaitu sejenis asid amino yang secara semula jadi terdapat dalam pelbagai jenis makanan.
Monosodium glutamate (MSG) p**a ialah garam natrium kepada asid glutamik (glutamic acid), yang digunakan sebagai penambah perisa (flavour enhancer) untuk meningkatkan rasa umami dalam makanan.
Perkataan "umami" berasal daripada bahasa Jepun yang membawa maksud rasa enak atau berperisa seperti daging (*savory* dalam bahasa Inggeris). Ia merupakan rasa yang unik dan tidak boleh dikategorikan sebagai manis, masam, masin atau pahit.
Banyak makanan semula jadi mengandungi glutamat dan memberikan rasa umami, antaranya rumpai laut (seaweed), kicap, keju, budu, ubi kayu, cendawan, daging serta susu ibu. Ini menunjukkan bahawa manusia telah terdedah kepada rasa umami sejak peringkat awal kehidupan.
Di Malaysia, penggunaan MSG dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai bahan tambahan makanan dalam kategori penambah perisa. Perkara ini diperuntukkan di bawah Peraturan 23, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang dibuat di bawah Akta Makanan 1983.
Walau bagaimanapun, seperti bahan tambahan makanan yang lain, MSG hendaklah digunakan mengikut had dan amalan pengilangan yang dibenarkan. Glutamat juga bukanlah nutrien penting (non-essential amino acid) kerana tubuh manusia mampu menghasilkannya secara semula jadi.
Berhubung dakwaan bahawa MSG dihasilkan daripada daging khinzir, perlu difahami bahawa glutamat boleh diekstrak daripada pelbagai sumber yang mengandungi protein, termasuk daging. Namun begitu, sumber bahan mentah bergantung kepada proses pengeluaran setiap pengilang.
Bagi produk MSG yang mempunyai pensijilan Halal Malaysia, sumber bahan mentah dan proses pengeluarannya telah memenuhi keperluan pensijilan halal yang ditetapkan. Sebagai contoh, pengeluar MSG utama di Malaysia menggunakan bahan mentah seperti ubi kayu dan tebu serta memiliki pensijilan halal yang sah.
Oleh itu, masyarakat disarankan supaya sentiasa merujuk kepada sumber yang berautoriti sebelum membuat kesimp**an atau menyebarkan sesuatu maklumat, khususnya berkaitan keselamatan makanan dan status halal sesuatu produk.
Diolah dan Kredit Kepada : Bkkm Jkn Perak