06/12/2021
MEMORANDUM KEPADA:
YB DATOβ SRI ALEXANDER NANTA LINGGI
MENTERI KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA
[SELESAIKAN SEGERA MASALAH KENAIKAN HARGA BARANGAN]
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mengikuti secara dekat perkembangan semasa terkait soal kenaikan harga barangan keperluan asas yang telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya yang melibatkan kumpulan B40 dan M40.
Kenaikan harga barangan makanan seperti sayur-sayuran, ayam, roti, telur ayam dan minyak masak semestinya mendatangkan kesan kepada perbelanjaan harian masyarakat yang kini turut berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang lain disebabkan pandemik Covid-19.
Sebagai contoh, beberapa laporan media telah mengenal pasti kenaikan harga sayur- sayuran sebanyak satu hingga dua kali ganda, yakni sebanyak RM2 hingga RM12 mengikut jenis sayur antaranya kubis, kubis bunga, sawi pendek, sawi, brokoli dan kacang buncis.
Selain itu, harga ayam terus mencatatkan kenaikan harga semasa sehingga mencecah RM9.80 sekilogram, berbanding dengan lingkungan harga RM5.50 β RM7.00 sekilogram yang pernah dinikmati pengguna sebelum ini. Sementara itu, harga telur ayam turut merekodkan kenaikan mendadak sehingga RM3 sepapan sejak sebulan lalu.
Berdasarkan maklumat yang diterima daripada para peniaga, AMK juga mendapati terdapat kenaikan harga pada barangan runcit lain seperti tepung, sardin dalam tin, susu pekat, beras, rempah kari, roti dan sos. Walaupun kenaikan ini dalam kadar yang kecil iaitu di antara RM0.20 sehingga RM0.60 bagi sesuatu barang, namun kenaikan ini tetap menyebabkan kos perniagaan meningkat yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat sebagai End User.
Oleh yang demikian, AMK menggesa agar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pihak kerajaan Malaysia untuk menangani segera isu kenaikan harga barang yang tinggi bagi mengelakkan sebarang bentuk urus niaga yang tidak telus dalam rantaian bekalan (supply chain) yang seterusnya menindas kumpulan pengguna dan juga peniaga.
AMK Malaysia berpandangan bahawa KPDNHEP serta pihak kerajaan perlu segera campur tangan bagi mengekang sebarang bentuk manipulasi harga yang mungkin dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Suara masyarakat Malaysia khususnya di media sosial yang seringkali meluahkan bebanan akibat kenaikan harga barang makanan perlu dipandang serius dan diberikan perhatian yang sewajarnya. Rakyat menantikan langkah-langkah proaktif yang ingin diambil oleh pihak kerajaan, selain daripada memberikan jawapan-jawapan kurang bernas yang langsung tidak menyebut mengenai solusi kepada permasalah ini.
Sekian.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
6 Disember 2021