17/07/2026
17 Julai 2026 - Cawangan Pengurusan Psikologi, BPSM,KKR telah menganjurkan Pelancaran Program Pementoran Kepimpinan 2026.
Program Pementoran Kepimpinan Sektor Awam merupakan salah satu komponen penting dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030 yang bertujuan melahirkan pemimpin sektor awam yang berdaya saing, berintegriti dan berprestasi tinggi.
Program ini memberi fokus kepada pembangunan kompetensi kepimpinan, perkongsian pengalaman, peningkatan kemahiran membuat keputusan, komunikasi berkesan serta pembentukan nilai integriti dan profesionalisme dalam kalangan peserta.
Kementerian Kerja Raya (KKR) pada tahun 2026 telah memulakan pelaksanaan Program Pementoran Kepimpinan buat julung kalinya dengan penglibatan empat (4) orang mentor dan sepuluh (10) orang menti yang terdiri daripada warga KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Majlis Pelancaran Program Pementoran Kepimpinan KKR anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah diadakan di Bilik Cempaka, Kompleks Kerja Raya dan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Seri Azman Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.
Majlis turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah jemputan, iaitu Tuan Haji Zakaria Zawawi, Perunding Latihan Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), serta Encik Azran Osman Rani, Ketua Pegawai Eksekutif Naluri Hidup Sdn. Bhd., yang berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan pembangunan kepimpinan.
Semoga pelaksanaan Program Pementoran Kepimpinan KKR yang akan berlangsung selama enam (6) bulan ini dapat menjadi platform berkesan dalam memperkasa bakat kepimpinan, memperkukuh jaringan profesional serta memindahkan ilmu dan pengalaman antara mentor dan menti demi melahirkan pemimpin masa hadapan yang cemerlang dan berwibawa.