29/05/2026
DARI PENTADBIRAN KE PENTAS SENI
Mesra disapa Abang Isa dalam kalangan warga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Isa bin Maarof memulakan kerjaya beliau sebagai Pembantu Khidmat Am (H1) pada 15 Februari 2008 di JKKN Melaka. Di sebalik rutin tugas pentadbiran harian, beliau turut dikenali dalam dunia seni dengan nama pena Mohdi S.A. Manja seorang insan yang serba boleh, berdedikasi dan sarat jiwa seni.
Dilahirkan pada 7 Jun 1966 di Kampung Pulau Samak, Batu Berendam, Melaka, Abang Isa merupakan pencinta seni dan budaya yang tegar. Kecintaan beliau terhadap keindahan pantun tradisional, seni bahasa dan peribahasa lama tidak pernah pudar, malah terus disuburkan dengan usaha menyantuni generasi muda melalui platform digital seperti TikTok. Di tangannya, warisan lisan tidak sekadar dipelihara, tetapi dihidupkan semula agar kekal relevan merentas zaman.
Dengan pengalaman 36 tahun dalam bidang seni persembahan, beliau bukan sekadar pemerhati, tetapi turut menjadi antara penggerak penting di belakang tabir teater khususnya di negeri Melaka. Abang Isa juga pernah menghasilkan karya puisi dan skrip pentas, termasuk naskhah seperti Persidangan Hantu, yang memperlihatkan keberanian beliau bermain dengan imaginasi dan naratif kreatif dalam dunia pementasan.
Pemegang Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam Pengurusan Produksi ini turut menghasilkan penulisan drama pentas muzikal yang telah dilakonkan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil bin Yaakob bersama Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron serta barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka khususnya sempena Sambutan Melaka Bandaraya Warisan Dunia (UNESCO) pada tahun 2017 dan Festival Antarabangsa Sungai Melaka.
Selain ketajaman pena, Abang Isa turut dikenali sebagai tulang belakang pengurusan acara dan pentas. Beliau merupakan Stage Manager bagi setiap program yang dilaksanakan di Melaka serta sentiasa memastikan setiap tirai pementasan dibuka dan ditutup dengan penuh tertib, menyusun perjalanan teknikal di sebalik tabir demi memastikan pengalaman penonton berjalan sempurna. Antara produksi besar yang pernah disumbangkannya termasuk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka, Majlis Makan Malam Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Majlis Makan Malam Dewan Undangan Negeri Melaka, Malam Gala Festival Seni Selat Melaka, Program Majlis Memperingati Peristiwa Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Melaka, Teater Muzikal Hang Tuah, Teater Muzikal Sirih Dilipat Sutera Diikat Kasih Dua Negara, Pukul Anak Sindey Menantu, serta pelbagai program kerajaan negeri Melaka.
Kini, setelah menabur bakti lebih sedekad dalam perkhidmatan di JKKN, tanggal 7 Jun 2026 bakal menjadi detik bermakna buat Abang Isa apabila beliau melangkah ke fasa persaraan daripada perkhidmatan awam. Namun, jejak seni dan sumbangan beliau kekal terpahat sebagai warisan yang tidak ternilai.
Terima kasih Encik Mohd Isa bin Maarof.