12/06/2026
Akademi Sains Malaysia (ASM) hari ini meraikan Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Hazami Habib FASc, dalam sebuah majlis penghargaan sempena persaraan wajib beliau. Sejak menyertai ASM pada 1996, beliau telah menabur bakti dan memimpin pelbagai inisiatif yang memperkukuh peranan ASM dalam memajukan agenda sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) negara.
Sepanjang perjalanan tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan ASM sebagai badan pemikir negara melalui peneraju pelbagai kajian strategik, pembangunan dasar, inisiatif foresight, pencapaian peringkat antarabangsa serta program pembangunan bakat yang memberi manfaat kepada negara dan masyarakat.
Majlis ini turut diserikan dengan tayangan video khas yang menyingkap perjalanan, pencapaian dan legasi beliau sepanjang bersama ASM. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Presiden ASM, Ahli Majlis ASM, warga kerja ASM serta ahli keluarga beliau.
Kami warga kerja ASM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan Hazami atas segala jasa dan bakti beliau. Kepimpinan, dedikasi dan sumbangan beliau akan terus menjadi inspirasi kepada warga ASM dalam meneruskan peranan organisasi ini sebagai badan pemikir negara yang berimpak.