29/08/2026
PERSEPSI BERSALAH SEBELUM MAHKAMAH MENJATUHKAN HUKUM — KENAPA?
PUTRA mengambil maklum kenyataan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang disampaikan melalui Setiausaha Agungnya pada 28 Ogos 2026. PUTRA berpandangan bahawa prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah sememangnya wajib dihormati. Namun demikian, dalam konteks kepimpinan politik dan amanah awam, terdapat persoalan lebih besar yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja iaitu keyakinan dan persepsi rakyat terhadap integriti seseorang pemimpin.
1. PUTRA melihat kenyataan tersebut sebagai suatu usaha mempertahankan imej kepimpinan UMNO yang berhadapan dengan pelbagai persoalan dan kontroversi yang mendapat perhatian masyarakat, termasuk isu-isu yang dibangkitkan melalui prosiding dan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji serta beberapa kes berprofil tinggi sebelum ini. Pengalaman lalu juga menunjukkan bahawa terdapat kes berprofil tinggi yang mengambil masa panjang, dihentikan atau tidak diteruskan atas pelbagai pertimbangan undang-undang. Keadaan sedemikian sudah tentu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai ketelusan dan ketegasan proses pendakwaan.
2. PUTRA mengakui dan mempertahankan prinsip asas keadilan bahawa seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum disabitkan oleh mahkamah. Namun, dalam politik dan pentadbiran awam, seseorang pemimpin bukan sahaja dituntut untuk bersih, tetapi perlu dilihat bersih, berintegriti dan bebas daripada keraguan munasabah masyarakat. Rakyat mempunyai hak demokratik untuk menilai pemimpin berdasarkan maklumat yang tersedia, rekod pentadbiran, penjelasan yang diberikan serta tahap keyakinan mereka terhadap integriti seseorang. Dalam konteks demokrasi, penilaian ini akhirnya diterjemahkan melalui apa yang sering disebut sebagai “mahkamah rakyat”, khususnya menerusi pilihan raya.
3. PUTRA turut berpandangan bahawa beberapa mekanisme dalam sistem perundangan dan pendakwaan negara sering menimbulkan kekeliruan serta persepsi dalam kalangan masyarakat. Keputusan seperti Tiada Tindakan Lanjut (NFA), Dilepas Tanpa Dibebaskan (DNAA) atau sesuatu siasatan yang mengambil masa terlalu panjang perlu diterangkan secara telus apabila melibatkan kes berkepentingan awam. Sekiranya keputusan-keputusan penting tidak diberikan penjelasan yang memadai, masyarakat boleh membentuk persepsi bahawa proses keadilan terdedah kepada pengaruh atau layanan yang berbeza berdasarkan kedudukan seseorang. Justeru, kebebasan dan ketelusan institusi pendakwaan perlu terus diperkukuh agar rakyat mempunyai keyakinan bahawa tiada seorang pun berada di atas undang-undang.
4. Rakyat hari ini mempunyai akses kepada maklumat dan mengikuti dengan dekat pelbagai isu berkaitan pengurusan wang serta aset negara. Antaranya termasuk persoalan yang dibangkitkan mengenai pengurusan dan pelaburan institusi awam, projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), FELDA, FELCRA, Prasarana, pengurusan tanah dan aset milik kerajaan serta agensi awam, selain pelbagai transaksi dan projek yang pernah mendapat perhatian masyarakat. Sekiranya terdapat laporan mengenai perbelanjaan, transaksi, pemilikan aset atau kekayaan luar biasa yang menimbulkan persoalan, perkara tersebut sewajarnya disiasat secara profesional, telus dan tanpa pilih kasih. Sebarang kesalahan hanya boleh ditentukan berdasarkan bukti dan proses undang-undang yang sewajarnya. Pada masa yang sama, rakyat berhak mempersoalkan keadaan apabila terdapat pemimpin politik, bekas pemimpin atau pegawai kanan kerajaan yang dilihat memiliki kekayaan atau menjalani gaya hidup yang menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya dengan pendapatan rasmi mereka. Persoalan sedemikian tidak seharusnya dijawab dengan memperlekeh atau menafikan hak rakyat untuk bertanya.
RAKYAT BERHAK MENILAI
PUTRA menegaskan bahawa rakyat Malaysia semakin matang dan mempunyai hak untuk membuat penilaian sendiri berdasarkan fakta, rekod, penjelasan dan maklumat yang tersedia.
Jangan memperlekeh kebijaksanaan rakyat.
Prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah wajib dipertahankan dalam proses perundangan. Namun, prinsip tersebut tidak bermaksud seseorang pemimpin bebas daripada pertanggungjawaban politik, tuntutan integriti dan penilaian masyarakat.
Rakyat mempunyai kebebasan untuk bersuara melalui saluran yang sah, termasuk media, media sosial, ceramah, forum awam dan akhirnya melalui peti undi.
Mahkamah undang-undang menentukan bersalah atau tidak bersalah di sisi undang-undang.
Mahkamah rakyat p**a menentukan sama ada seseorang masih layak diberikan kepercayaan untuk memimpin.
PUTRA mahu institusi penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman terus diperkukuh agar setiap kes berkepentingan awam dapat disiasat dan diselesaikan secara telus, bebas serta tanpa pilih kasih.
Tiada sesiapa harus kebal daripada undang-undang.
ALLAHUAKBAR!
“PUTRA PERKASA NEGARA”
SHAHRULUFTI SHARIF
Ketua Penerangan PUTRA
29 Ogos 2026