15/06/2026
WOW, GEGAR PPR JELATEK
Ahad, 14 Jun 2026 - AADK Daerah Dang Wangi telah berjaya melaksanakan Program Gerakan Pemerkasaan Rakyat (GEGAR) sempena Hari Komuniti PPR Jelatek. Program ini merupakan anjuran bersama pihak Pertubuhan Wanita Berdaya (WOW), Mah Sing Foundation dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Jelatek bersama-sama rakan-rakan strategik.
Melalui program ini, AADK Dang Wangi mengambil peluang keemasan untuk mendekati masyarakat setempat melalui aktiviti Pameran Antidadah, Bicara Saku AADK, kuiz interaktif Kahoot, Pesanan Antidadah (PESADA) bersama komuniti, kaunter aduan AADK dan pendaftaran SKUAD Antidadah. Selain itu, aktiviti-aktiviti lain juga disediakan oleh rakan strategik termasuk pemeriksaan kesihatan, aktiviti kanak-kanak, gerai jualan makanan dan cabutan bertuah.
Usaha bersepadu bersama pihak swasta dan NGO seperti ini amat penting untuk memastikan mesej antidadah dapat disampaikan secara menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat, memberi pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan dalam komuniti, memberi kemahiran kepada penggerak komuniti mengurus masalah penyalahgunaan dadah dan bahan dalam komuniti seterusnya mewujudkan persekitaran tempat yang selamat dan sejahtera.
Program ini telah diserikan lagi dengan kehadiran Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 4 Keramat, Tuan Haji Zulkifli Zainudin, Penolong Pengurus Mah Sing Foundation, Encik Yoke Fai, Naib Presiden WOW (Women of Will), Encik Shashi, Pengerusi KRT PPR Jelatek, Puan Sally Mahdi dan Setiausaha Persatuan Penduduk PPR Jelatek, Encik Samad Ali.
Program yang bermula seawal 7.30 pagi ini telah tamat pada 1.30 petang. Komitmen berterusan akan terus dirangka melalui pelbagai program susulan demi memastikan mesej pencegahan dadah dapat dihayati sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat.