16/12/2025
Salam,
Kenyataan Saudara Datuk Gulam Muszaffar , Ketua Bahagian UMNO Batu, jelas lebih dipandu oleh emosi dan keghairahan mencari kambing hitam, daripada kebijaksanaan politik. MIC dijadikan sasaran mudah seolah-olah kegagalan PRU15 adalah dosa MIC semata-mata, sedangkan hakikatnya PRU15 adalah kekalahan total Barisan Nasional, dengan UMNO sendiri ditolak rakyat secara besar-besaran.
Cubaan mengalihkan beban tanggungjawab kepada MIC tidak akan memadam fakta bahawa kegagalan strategi, pemilihan calon serta krisis kepimpinan UMNO sendiri menjadi punca utama BN tumbang. Menyalahkan rakan gabungan mungkin melegakan emosi, tetapi tidak menyelesaikan masalah sebenar.
Sebagai Ketua Bahagian, Saudara sepatutnya berada di barisan paling hadapan mempertahankan mantan Presiden UMNO yang masih dipenjarakan, walaupun kewujudan Addendum daripada YDPA telah diketahui umum. Namun apa yang dipertontonkan hanyalah drama pentas bermusim, air mata dan emosi di Mesyuarat AGM Bahagian Batu, kemudian sunyi sepi selepas lampu dewan dipadamkan. Tiada pendirian konsisten, apatah lagi tindakan berani.
Ini bukan soal sentimen atau simpati sementara.
Ini soal prinsip, maruah dan keberanian politik.
Jika benar mahu bercakap tentang prinsip dan pendirian, belajarlah daripada Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick. Beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri kerana tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah. Tanpa drama, tanpa sandiwara, hanya pendirian yang konsisten dan bermaruah.
Persoalannya mudah dan terus terang:
Beranikah mana-mana pemimpin UMNO berbuat perkara yang sama?
Atau keberanian UMNO hari ini sekadar kuat di mikrofon, tetapi lemah apabila prinsip menuntut pengorbanan sebenar?
Lebih mengelirukan, isu jawatan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) pun boleh mencetuskan drama politik, merajuk, mengeluarkan kenyataan media “UMNO Batu putus hubungan dengan PH”, sedangkan pada masa yang sama Presiden UMNO sendiri menegaskan UMNO masih bersama PH. Hari ini ada Ahli Majlis Tertinggi mendakwa UMNO bekerjasama dengan DAP, esok Presiden p**a memutar naratif mengatakan UMNO tidak bekerjasama dengan DAP tetapi hanya dengan PH.
Maka timbul persoalan rakyat:
UMNO ini sebenarnya ada satu pendirian atau banyak versi?
Atau setiap pemimpin bebas bercakap mengikut emosi dan kepentingan sendiri?
Kenyataan yang bercanggah, tidak konsisten dan penuh drama inilah yang akhirnya menjadikan UMNO bahan sindiran dan lawak politik, bukan lagi parti yang diyakini rakyat.
MIC tidak memerlukan kuliah moral daripada mereka yang gagal mempertahankan prinsip apabila diuji. Jika mahu bercakap tentang maruah parti, mulakan dengan membetulkan pendirian sendiri dan bercermin diri terlebih dahulu.
Sekian.
M.Sashi Kumar
Ketua Pemuda MIC
Bahagian Batu