13/06/2026
MAIWP SANTUNI WARGA ASNAF MELALUI PROGRAM ZIARAH DAKWAH MESRA KOMUNITI 2026
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2026 — Program Ziarah Dakwah Mesra Komuniti Tahun 2026 telah berlangsung dengan penuh ukhuwah di Kondo Rakyat Desa Pantai, menghimpunkan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha menyantuni golongan fakir miskin dan komuniti berpendapatan rendah.
Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP; YBrs. Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Pengarah Operasi JAWI mewakili Pengarah JAWI; YBrs. Tuan Mohd Zaki bin Haruddin, Pegawai Khas Ahli Parlimen Lembah Pantai mewakili YB Ahli Parlimen Lembah Pantai; serta YBrs. Tuan Faizal bin Mahmod, Pengurus Kawasan Lembah Pantai, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Program ini merupakan inisiatif bersama JAWI dan MAIWP dengan kerjasama strategik DBKL, Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Perbadanan Pengurusan Kondo Rakyat Desa Pantai, MPPWP Sub Zon 3 Lembah Pantai, Bahagian Halal JAKIM, PPZ-MAIWP, JKM WPKL, Jabatan Penerangan Malaysia WPKL & Putrajaya, MCMC dan KWSP.
Pelbagai pengisian telah dilaksanakan sepanjang program antaranya ziarah komuniti, forum mesra komuniti, kuiz mesra dakwah komuniti, reruai pameran jabatan dan agensi serta penyerahan Sumbangan Rezeki Mesra Komuniti kepada warga asnaf.
Lebih daripada sekadar program kebajikan, inisiatif ini menjadi medan untuk MAIWP dan rakan strategik turun padang, mendekati masyarakat, menyampaikan bantuan serta menyuburkan nilai kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab sosial kepada komuniti setempat.
Semoga usaha ini terus memperkukuh hubungan antara institusi agama, agensi kerajaan dan masyarakat dalam membina ummah yang sejahtera dan saling menyantuni.