16/05/2026
Sambutan Hari Guru 2026:
“Guru Bitara Nadi Negara”
Guru Pembina Insan, Penggerak Negara Rahmah
Pertubuhan IKRAM Kuala Lumpur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan Selamat Hari Guru 2026 kepada seluruh warga pendidik di Malaysia, khususnya para guru di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atas jasa, pengorbanan dan komitmen mereka dalam mendidik generasi masa depan negara.
Tema Hari Guru 2026, “Guru Bitara Nadi Negara”, amat bertepatan dengan kedudukan guru sebagai insan unggul yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut membentuk akhlak, membina pemikiran, memupuk nilai, serta menyemai semangat tanggungjawab dalam diri anak-anak bangsa.
Bagi IKRAM Kuala Lumpur, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu dan berkongsi pengalaman tetapi mereka ialah murabbi yang membina insan dari segi adab, akal, emosi dan rohan untuk kemenjadian pelajar. Mereka juga sebgai pembimbing, pencetus perubahan dan pembina tamadun. Di tangan gurulah terbentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah memiliki adab, integriti, kasih sayang, daya fikir kritis dan kepekaan sosial.
Dalam suasana masyarakat bandar yang semakin mencabar, peranan guru menjadi semakin besar. Anak-anak hari ini berhadapan dengan pelbagai tekanan akademik, pengaruh digital, cabaran kesihatan mental, krisis identiti, jurang sosioekonomi serta perubahan nilai dalam masyarakat. Justeru, guru perlu terus diperkasa sebagai pendidik yang berilmu, berjiwa besar dan disokong oleh ekosistem pendidikan yang manusiawi.
IKRAM Kuala Lumpur menyeru agar penghargaan kepada guru tidak hanya dizahirkan melalui sambutan tahunan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan yang lebih bermakna, antaranya:
• Memartabatkan kebajikan dan kesejahteraan guru supaya mereka dapat mendidik dengan lebih tenang, berkesan dan bermaruah.
• Mengukuhkan kerjasama ibu bapa, komuniti dan sekolah dalam membentuk generasi berakhlak dan berdaya tahan.
• Mengurangkan beban tugas bukan pengajaran agar guru dapat memberi tumpuan kepada fungsi utama mendidik dan membimbing murid.
• Menyokong pembangunan profesional guru dalam aspek pedagogi, teknologi, kepimpinan, bimbingan emosi dan pendidikan nilai.
• Mengangkat peranan guru sebagai agen rahmah dan islah dalam masyarakat, khususnya dalam membina generasi yang berilmu, beradab dan bertanggungjawab.
IKRAM Kuala Lumpur juga menegaskan bahawa pendidikan bukan tanggungjawab guru semata-mata. Ibu bapa, masyarakat, institusi agama, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak kerajaan perlu berganding bahu membina persekitaran yang menyokong tugas guru.
Sempena Hari Guru 2026 ini, IKRAM Kuala Lumpur mengajak seluruh masyarakat untuk kembali menghargai kedudukan guru sebagai nadi pembangunan insan dan negara
Akhirnya, IKRAM Kuala Lumpur mendoakan agar seluruh guru diberikan kekuatan, kesabaran, kesihatan dan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT atas segala ilmu, didikan dan kasih sayang yang dicurahkan.
Selamat Hari Guru 2026.
Guru Bitara, Nadi Negara.
Guru Dimuliakan, Generasi Dibangunkan.
Pertubuhan IKRAM Kuala Lumpur
15 Mei 2026
27 Zulkaedah 1447H