27/04/2026
๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐
๐๐๐๐๐, ๐๐ ๐๐ฉ๐ซ๐ข๐ฅ ๐๐๐๐ โ Usaha memperkukuh tadbir urus serta memperkasa kebajikan komuniti veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperkasa menerusi penganjuran Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre, di sini hari ini.
Konvensyen berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, YB Datoโ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.
Penganjuran konvensyen ini adalah susulan keputusan Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) Bilangan 12/2024 pada 27 November 2024 yang bersetuju mengenai keperluan mewujudkan satu struktur tadbir urus lebih tersusun bagi memperkasa institusi persatuan veteran ATM.
Sehingga kini, sebanyak 116 persatuan induk dan 405 persatuan cawangan berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), menjadikan keseluruhan 521 persatuan veteran di seluruh negara. Kepelbagaian ini memerlukan satu platform penyelarasan yang lebih efektif bagi memastikan suara komuniti veteran dapat diselaras secara menyeluruh dan bersepadu.
Penubuhan gabungan ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh tadbir urus persatuan, selain berperanan mengenal pasti serta mengangkat isu-isu utama komuniti veteran ke peringkat Majlis Veteran Kebangsaan.
Selain itu, persatuan veteran turut memainkan peranan penting sebagai medium interaksi sosial, pemangkin kebajikan ahli serta ejen lapangan dalam penyampaian maklumat dan penyelarasan isu berkaitan veteran.
Sejak 2018, Kerajaan telah memperuntukkan dana tahunan berjumlah RM500,500 kepada persatuan veteran yang aktif. Peruntukan ini disalurkan berdasarkan pematuhan kepada syarat tertentu termasuk pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), pelaksanaan aktiviti berterusan serta penghantaran laporan kewangan beraudit selaras dengan Akta Veteran 2012.
Kadar pembiayaan adalah berdasarkan jumlah keahlian dengan had maksimum RM25,000 bagi persatuan yang mempunyai lebih 10,000 ahli. Kementerian kini sedang meneliti semula kadar tersebut dengan mengambil kira keperluan semasa.
Dalam usaha memperkukuh kebajikan veteran, beberapa inisiatif baharu turut diumumkan, antaranya kajian penambahbaikan pengurusan rawatan hemodialisis melalui model Pentadbir Pihak Ketiga (TPA), kerjasama kerjaya kedua bersama Agensi Keselamatan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta kajian rintis penempatan veteran sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Selain itu, program PROWIRA terus dilaksanakan bagi menyediakan peluang reskilling dan upskilling kepada veteran melalui inisiatif Protege RTW Veteran ATM termasuk program Readiness to Work (RWV).
Kerajaan turut melaksanakan pembayaran khas Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebanyak RM500 secara sekali bayar (one-off), melibatkan peruntukan keseluruhan RM60 juta. Setakat ini, seramai 30,000 penerima telah menerima bayaran berkenaan.
Dalam majlis sama, Menteri Pertahanan turut menyampaikan sumbangan dana kepada beberapa persatuan veteran, antaranya Persatuan Veteran ATM (PVATM) sebanyak RM25,000, Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja (PVRSD) sebanyak RM15,000 dan Malayan Armed Forces Chinese Veteran Association sebanyak RM10,000.
Turut hadir Ahli Majlis Veteran Kebangsaan, Lt Jen Datoโ Sri Dr. Abdul Aziz Ibrahim (B), Mej Jen Datoโ Muhammad Mudzamir Ong Abdullah TUDM (B), Kapt Datuk Sharuddin Omar (B), Datoโ Hj Ismail Hj Abidin, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mej Jen Datoโ Haji Semaon Haji Marjuki serta Penasihat Ketenteraan (MA1) Pejabat Menteri Pertahanan, Mejar Jeneral Datoโ Muzamil Hj Ali.
Dalam ucapannya, YB Datoโ Seri Mohamed Khaled menegaskan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memastikan kebajikan komuniti veteran ATM terus terbela melalui pembangunan ekosistem sokongan yang mampan dengan kerjasama pelbagai pihak.