11/07/2025
DELEGASI UPEN MELAKA JADIKAN MHIP KUALA LUMPUR SEBAGAI PENANDA ARAS PEMBANGUNAN PUSAT INKUBATOR NEGERI MELAKA
BATU, 10 Julai 2025 - Kerajaan Negeri Melaka melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) merancang membangunkan pusat inkubator bagi memenuhi keperluan pembangunan usahawan di negeri Melaka. Sehubungan itu, lawatan penanda arasan ke MARA Halal Industrial Park (MHIP), Kuala Lumpur adalah bagi mendapatkan panduan pelaksanaan pusat tersebut.
Dalam sesi tersebut juga, delegasi ini dibawa melawat ke salah sebuah premis di MHIP iaitu syarikat Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar coklat premium tempatan di bawah jenama Estana, Ryverra, Reevo dan Qidoz, yang semakin dikenali kerana kualiti dan keaslian produknya. Selain beroperasi sebagai kilang pengeluaran, syarikat ini turut menawarkan pengalaman interaktif kepada pengunjung untuk lebih memahami proses pembuatan coklat seterusnya menjadikannya bukan sahaja sebuah syarikat pengeluar, tetapi juga destinasi pembelajaran dan inspirasi usahawan. Lawatan ini membuka ruang kepada deligasi untuk menimba ilmu serta mencetus idea dalam bidang pemprosesan makanan dan inovasi produk halal tempatan.
Ditubuhkan pada tahun 2008, Ryverra merupakan pakar dalam bidang pengeluaran coklat terutama untuk penghasilan coklat berkualiti tinggi & premium, produk tempahan khas (customized) untuk korporat mahupun individu. Produk dihasilkan di premis pembuatan yang menepati piawaian HALAL JAKIM dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui pensijilan Halal & MeSTI. Pihak syarikat turut menawarkan perkidmatan pembekalan secara kontrak kepada mana mana usahawan muda yang ingin bergiat dalam bidang ini. Disamping itu, harga semua produk usahawan ditawarkan dengan harga kilang iaitu pada kadar 30% lebih rendah daripada harga pasaran untuk menarik lebih ramai datang mengunjungi MARA Halal Industrial Park (MHIP).
Delegasi seramai 35 orang wakil dari UPEN diketuai oleh YB Tuan Allex Seah Shoo Chin, EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, wakil SME Corp Negeri Melaka dan wakil Pejabat MARA Negeri Melaka. Wakil MARA Wilayah Persekutuan yang turut serta menyambut kehadiran delegasi tersebut adalah Encik Muhamad Saiffatullah bin Ahmad, Timbalan Pengarah (Pembangunan), Encik Mohd Zairee Bin Zakaria (Timbalan Pengarah (Khidmat Pengurusan), Puan Munirah binti Zulkhan, Pegawai MARA Daerah Kepong/Batu/ Segambut.