17/02/2022
MESYUARAT AHLI JAWATANKUASA BILANGAN 1 KELAB SUKAN, SOSIAL DAN KEBAJIKAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (KSSKA) DAN PENYERAHAN MOCK CHEQUE YURAN KEAHLIAN TAHUN 2021, SUMBANGAN ASAS SERTA GERAN SEPADAN TAHUN 2022 KEPADA PERKHIDMATAN DAN PENERIMA FAEDAH
KUALA LUMPUR, 15 Februari 2022- Mesyuarat telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Rajawali, Markas Tentera Udara yang dipengerusikan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM selaku Yang Dipertua (YDP) Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan ATM (KSSKA).
Seramai 20 pegawai dan anggota selaku AJK dan wakil perkhidmatan terlibat dalam mesyuarat kali ini. Turut hadir, Laksda Abd Halim bin Hj Shaari, Inspektorat Jeneral ATM selaku NYDP KSSKA dan Mejar Jeneral Dato’ Hj Subari Bin Hj Tomo, Ketua Staf Tentera Darat sebagai AJK Pegawai Tentera Darat.
Intipati mesyuarat pada kali ini lebih kepada pemakluman Pengagihan Yuran KSSKA Tahun 2021, Sumbangan Asas dan Geran Sepadan Tahun 2022 selain daripada perkara-perkara khusus yang termaktub untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa seperti Taklimat Kedudukan kewangan KSSKA dan juga Taklimat Kerangka Kerja setiap perkhidmatan bagi suku keempat tahun 2021.
Seterusnya, acara Penyerahan Mock Cheque Yuran Keahlian KSSKA Tahun 2021, Sumbangan Asas dan Geran Sepadan Tahun 2022 dilaksanakan sejurus mesyuarat dipinda. Penyerahan disampaikan oleh YDP KSSKA kepada setiap wakil perkhidmatan dan penerima faedah. Mendahului senarai perkhidmatan, MK ATM menerima jumlah wang KSSKA sebanyak RM 539,607.78. Tentera Darat, RM 3,697,579.55. Tentera Laut, RM 796,632.89. Tentera Udara, RM 800,981.79. Penerima Faedah iaitu Majlis Sukan Angkatan Tentera (MSAT), RM 1,068,246.00 dan diakhiri dengan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT), RM 356,082.00.
Bagi menghargai sumbangan, jasa dan komitmen selaku AJK Pegawai Tentera Darat, YDP KSSKA juga turut menyampaikan cenderahati kepada Mejar Jeneral Dato' Hj Subari bin Hj Tomo yang merancang akan bercuti mulai 7 April 2022 seterusnya bersara dari perkhidmatan.
Mesyuarat dilaksanakan dengan menitikberatkan SOP dan mematuhi langkah-langkah perlu bagi mencegah penularan COVID-19 dengan mempraktikan amalan penjarakan sosial, penggunaan hand sanitizer, tidak berjabat salam serta meminimumkan bilangan kehadiran.
Mesyuarat diakhiri dengan ucapan penutup daripada YDP KSSKA diiringi jamuan ringan dan seterusnya bersurai.
Oleh: Kapt Norfaezal bin Abdullah Sani, PS 3 KSSKA (Darat).