30/05/2026
Israel membantu China menghasilkan jet Chengdu J-10, tanpa kebenaran AS.
Selepas Perang Enam Hari 1967, Israel pernah berhadapan masalah dengan Perancis yang enggan melepaskan 5 buah kapal perang Israel kelas “Saar 3” yang telah ditempah dan dibayar, sehingga Israel terpaksa melaksanakan operasi sulit untuk melarikan kapal-kapal tersebut yang tersadai di Pelabuhan Cherbourg pada tahun 1969. Ketika itu negara Perancis adalah pro-Arab. Presiden Charles de Gaulle juga telah menghalang penghantaran 50 jet Mirage V yang telah dibeli oleh Israel. Israel membuat keputusan untuk membangunkan industri pertahanannya sendiri.
Mereka seterusnya mencuri (melarikan Salinan) 200,000 blueprint jet Mirage III dari Switzerland. Firma Sulzer ketika itu mengeluarkan enjin jet Snecma Atar 9C untuk Mirage III dibawah lesen. Hasilnya klon kepada jet Mirage V iaitu jet IAI Nesher telah berjaya dihasilkan oleh Israel pada 1972 dan IAI Kfir pada 1976.
Israel terus membangunkan program jet “Lavi” pada tahun 1980an. Projek ini penuh kontroversi kerana Israel sebagai sebuah negara kecil dengan pop**asi seramai 4 juta orang membelanjakan 18.9% daripada KDNK (GDP) untuk pertahanan. Program ini dihentikan pada tahun 1987 setelah tiga buah jet prototype dihasilkan kerana mendapat undi 12-11 daripada kabinet Israel. Majoriti menentang kos yang tinggi dalam projek Lavi, kira-kira US$ 2 bilion, dan juga menentang perbelanjaan pertahanan yang sangat tinggi bagi sebuah negara kecil.
Walaupun AS menyumbang kepada projek ini, AS juga tidak mahu jet Lavi ini apabila siap nanti akan menjejaskan pasaran jet F-16 dan F-18 yang dihasilkannya, apatah lagi AS membekalkan 40% daripada komponen jet Lavi. AS kemudian membekalkan Israel dengan 90 buah jet F-16C/D Fighting Falcon Block 30 dan 40. Antara tahun 2004 hingga 2008 p**a, 100 buah jet F-16I Soufa (Storm) telah diterima oleh Israel. Ia menggunakan kerangka dari AS, tetapi 50% avionik dan sistem peperangan elektronik adalah buatan tempatan.
Israel mendapat dana bantuan daripada AS melalui program FMF (Foreign Military Financing). Melalui satu peruntukan khas dibawah FMF yang dikenali sebagai Off-Shore Procurement, industri pertahanan domestik Israel menikmati 26.3% daripada dana FMF ini, seperti projek Lavi. Hari ini AS terus menyumbangkan US$ 3.3 bilion dalam bentuk geran dan tambahan US$ 500 juta bagi projek misil bersama seperti Arrow dan Iron Dome melalui FMS bagi tempoh 2019 hingga 2028.
Berbalik kepada projek Lavi, setelah pembatalan projek, pada awal tahun 1990an timbul p**a kontroversi Israel telah memberikan China data rekaan aerodinamik dan blueprint “fly-by-wire architecture” jet Lavi bagi membolehkan China menghasilkan jet Chengdu J-10 Vigorous Dragon. Jet ini dipercayai setanding dengan jet Gen 4 buatan Barat dan Russia.
Antara persamaan Lavi dan J-10 adalah – rekaan aerodinamik dengan ciri canard-sayap delta yang serupa, kedudukan air intake dibawah perut jet, elemen digital sistem kawalan fly-by-wire dan sistem navigasi. Ia juga melibatkan blueprint radar Elta EL/M-2035 Doppler dan sistem panduan misil udara-ke-udara yang membolehkan China menghasilkan misil PL-8. Oleh kerana China tidak boleh menggunakan enjin Lavi, iaitu Pratt & Whitney PW1120 buatan AS, ia terpaksa memanjang (2 meter) dan melebarkan rangka J-10 bagi memuatkan enjin AL-31F turbofan buatan Russia.
Israel melakukannya dengan alasan terpaksa menanggung kerugian kos pembangunan program jet Lavi selain terpaksa mengekalkan kepakaran teknisyen dan jurutera IAI. Pada masa yang sama Israel menafikan blueprint AS yang asal telah digunakan, sebaliknya mereka memberikan China blueprint yang telah diubah. Hal ini telah menimbulkan kemarahan Washington, kerana pemindahan teknologi tersebut tidak mendapat keizinan AS. AS telah menyumbangkan berbilion dollar untuk membantu pertahanan Israel.
Kongres dan Pentagon mendesak Israel menubuhkan Defense Export Control Agency (DECA) untuk mengawal eksport senjata pada masa hadapan. Sebagai hukuman, AS melaksakan sekatan tidak rasmi ke atas Israel dengan membekukan kerjasama serta perkongsian maklumat dengan Israel buat seketika pada awal tahun 1990an.
Sebenarnya pada tahun 1980an, AS dan Barat juga mengeksport teknologi pertahanan ke China dan pernah menimbangkan untuk membangun jet J-7 dan J-8 bersama China, tetapi kerjasama ini terhenti setelah berlaku insiden di Dataran Tiananmen 1989. Pada tahun 1998, akta melarang penjualan jet F-22 Raptor ke mana-mana negara termasuk Israel telah diluluskan bagi menyekat kebocoran rahsia teknologi halimunan jet tersebut.
Pada tahun 2000, Clinton telah mendesak Ehud Barak membatalkan penjualan empat buah sistem Phalcon Airborne Early Warning and Control (AEW&C) kepada China yang bernilai US$ 1 bilion pada ketika itu (hampir US$ 2 bilion pada hari ini). Akibat pembatalan kontrak ini, Israel terpaksa membayar pampasan kepada China sebanyak US$ 350 juta.
Oleh kerana AS telah menganggap anak yahudi anak Amerika juga, maka langkah memujuk Israel telah dilakukan dengan terus menerus membekalkan senjata kepada Israel, namun sebagai anak yang tidak mengenang budi, pada 1994-1999 Israel menjual 100 unit dron Harpy ke China bernilai US$ 70 juta. Pada tahun 2004 China menghantar kembali dron ke Israel untuk penyelenggaraan, tetapi AS mengatakan ia untuk tingkat upaya. AS sekali lagi mencubit Israel dengan menggantung Israel selama enam bulan dalam program F-35 Joint Strike Fighter pada tahun 2005. Israel kini telah menerima 48 buah jet F-35I Adir.
Sumber Kredit Rafe Rahmat
Foto: kredit kepada pemilik asal