30/04/2026
๐๐ท ๐ป๐ผ๐น๐๐ต๐ ๐พ๐ฏ๐๐ณ๐๐ฌ๐: 3 ๐ท๐๐ฌ๐๐ฐ๐ ๐๐ฐ๐๐ท๐ผ๐ต ๐ท๐๐ถ๐ฟ๐ผ๐ ๐ฝ๐จ๐ฝ๐ฐ, ๐๐ป๐๐ฒ ๐บ๐๐ฑ๐๐ฒ ๐ฉ๐๐ฒ๐ ๐๐จ๐๐จ๐ ๐ฟ๐ฐ๐๐ฌ๐๐ฉ๐, 7 ๐ซ๐๐ป๐ผ๐ฏ๐ผ๐ต
๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐: Polis menyerbu tiga premis perniagaan disyaki menyimpan produk sejuk beku yang dibawa masuk secara haram ke negara ini di sekitar Taman Usahawan Kepong di sini, hari ini dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM541,000.
Serbuan menerusi Op Taring Chiller dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bermula sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata serbuan susulan aduan dan risikan yang mengesyaki tiga premis terbabit menyimpan produk sejuk beku yang diseludup ke negara ini.
Menurut beliau, serbuan di premis pertama menemukan sejumlah besar produk babi sejuk beku yang sebahagian daripadanya dipercayai diimport tanpa kebenaran.
"Pemeriksaan mendapati premis ini beroperasi secara sah, namun kita menjalankan semakan lanjut ke atas produk babi sejuk beku yang disimpan di premis terbabit.
"Premis ini mengedarkan produk babi sejuk beku untuk keperluan peniaga dan pengusaha premis makanan sekitar ibu kota. Rampasan dilakukan untuk tujuan siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.
Mohd Zaki berkata operasi turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tambah beliau, seramai tujuh individu termasuk lima pekerja warga asing warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen sah ditahan dalam operasi itu. Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 42 tahun.
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata pemeriksaan di premis lain turut menemui pelbagai produk sejuk beku selain beberapa kesalahan berkaitan lesen dan permit.
"Dalam satu lagi premis perniagaan diserbu, KPDN menemukan kira-kira 40 kotak minyak masak yang disimpan tanpa kebenaran.
"Premis berkenaan didapati tidak mempunyai lesen perniagaan dan mendakwa baru beroperasi kira-kira dua tahun," katanya.
Katanya, premis terbabit turut didapati menyimpan produk babi sejuk beku dan ssemakan lanjut sedang dijalankan pihak DVS untuk mengesahkan status produk sama ada ia diseludup dari negara luar atau produk tempatan.
Disyaki diseludup dari China
"Dalam pemeriksaan di premis ketiga, kita menemui sejumlah produk itik sejuk beku yang disyaki diseludup masuk dari negara China, bagaimanapun semakan lanjut sedang dijalankan oleh DVS.
"Soal siasat lanjut sedang dijalankan ke atas pemilik perniagaan terbabit termasuk daripada mana sumber produk itu diperoleh," katanya.
Mohd Zaki berkata secara keseluruhan, rampasan membabitkan kira-kira 15,205.30 kilogram (kg) karkas babi dianggarkan bernilai RM532,185.50 dan 271.03kg daging itik sejuk beku bernilai RM9,486.05.
"Turut dirampas dua peti sejuk beku, 1,196kg minyak masak bernilai RM2,990 serta 110kg tepung bernilai RM330 dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM541,671.50.
"Rampasan itu dilakukan untuk tindakan lanjut oleh agensi berkaitan," katanya.
Menurut Mohd Zaki, kesemua rampasan karkas babi dan itik diserahkan kepada DVS Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut, manakala tangkapan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Zaki berkata, siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang membabitkan pelbagai agensi.
"Bagi kes imigresen, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja tanpa permit serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Selain itu, kes turut disiasat DVS mengikut Seksyen 5 Akta Binatang 1953 kerana memiliki atau mengimport karkas babi dan itik dari negara yang tidak dibenarkan," katanya.
Katanya, tindakan turut diambil oleh DBKL mengikut Undang-undang Kecil 3(1) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
"Kes turut membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang membawa kepada tindakan penutupan premis," katanya.