06/04/2026
PERBARISAN SEMPENA HARI TENTERA DARAT KE-93
KUALA LUMPUR, 4 April 2026 – 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) telah terlibat secara langsung dalam Perbarisan Sempena Hari Tentera Darat ke-93 yang berlangsung di Padang Kawad Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.
Penglibatan ini menyaksikan gabungan pegawai dan anggota daripada 71 RSDPMB bersama Rejimen Askar Jurutera Diraja dengan kekuatan seramai 4 Pegawai dan 60 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), diketuai oleh Mej Zulhilmi bin Muhammad.
Dalam amanatnya, Panglima Tentera Darat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Tentera Darat atas khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan kepada negara. Beliau turut menyeru agar setiap anggota terus mengekalkan komitmen dan kesetiaan, di samping memperkukuh keupayaan pasukan bagi memastikan Tentera Darat kekal cemerlang, berdaya saing serta relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan seiring dengan slogan Kemahuan Untuk Menang, Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat.
Perbarisan ini bukan sahaja melambangkan kekuatan dan keutuhan Tentera Darat Malaysia, malah turut menyemarakkan semangat setia kawan, disiplin serta rasa bangga dalam kalangan seluruh warga yang terlibat sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-93.
Sumber : Media 71 RSDPMB