05/03/2026
PROGRAM KEMBARA INTEGRITI SIRI 2 TAHUN 2026 DI JKR DAERAH MUAR, JOHOR
MUAR, 12 Februari 2026 (Khamis) – Bahagian Integriti Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah meneruskan pelaksanaan Program Kembara Integriti bagi Siri 2 Tahun 2026 dengan kerjasama JKR Daerah Muar. Program ini merupakan inisiatif berterusan jabatan dalam memperkukuh amalan tadbir urus terbaik serta memastikan pematuhan terhadap etika kerja dalam kalangan warga JKR di peringkat daerah.
Sesi dimulakan dengan ceramah berkaitan tatacara dan pematuhan dalam perolehan kerajaan yang disampaikan oleh Encik Andi Zulkarnain bin Lamakasauk daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Batu Pahat. Pengisian ceramah tersebut memberi penekanan terhadap penjawat awam dalam memelihara akauntabiliti serta impak positif aspek ketelusan, serta pencegahan rasuah dalam pengurusan perolehan.
Majlis yang penuh bermakna ini telah disempurnakan dengan ucaptama oleh YBrs. Ir. Zainal bin Tumian, Pengarah JKR Negeri Johor. Dalam ucapannya beliau menekankan bahawa integriti bukan sekadar prinsip yang diungkapkan, malah perlu dizahirkan melalui tindakan dan keputusan harian. Beliau turut mengingatkan warga jabatan agar sentiasa mematuhi tatacara yang ditetapkan serta memperkukuhkan kawalan dalaman bagi memastikan tadbir urus jabatan pada tahap baik.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi lafaz dan tandatangan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh Ir. Hj. Samri bin Embong, Jurutera Daerah JKR Muar sebagai simbol komitmen berterusan warga jabatan dalam memartabatkan nilai amanah dan akauntabiliti. Sesi penuh bermakna ini telah disaksikan secara rasmi oleh YBrs. Ir. Zainal bin Tumian, Pengarah JKR Negeri Johor bersama Encik Mohd Fauzi bin Shadollah, Ketua Cawangan SPRM Batu Pahat dan YBrs. Ir. Nooraini binti Ibrahim, Ketua Bahagian Integriti CDPK.
Sesi IBR ini turut diikrarkan dan ditandatangani oleh barisan kepimpinan kanan JKR Johor, antaranya:
i. Ar. Mohd Shahril bin Abdul Talib, Arkitek Penguasa;
ii. En. Mohammad Kamal bin A. Rahman, Jurutera Awam Penguasa;
iii. En. Fairul Azrie bin Yaacob, Jurutera Daerah Batu Pahat;
iv. Ir. Ts. Haji Norazlan bin Mohammad Nor, Jurutera Daerah Kota Tinggi;
v. Ir. Sharul Irman bin Muhamad Tahir, Jurutera Daerah Mersing;
vi. Ir. Mohammad Adam bin Mohd Yazid, Jurutera Daerah Tangkak;
vii. Ir. Muhamad Yusri bin Zainal, Jurutera Daerah Segamat; dan
viii. Ir. Dr. Sharudin bin Ismail, Jurutera Daerah Pontian.
Ini sebagai manifestasi komitmen kepimpinan jabatan dalam membudayakan amalan kerja berintegriti.
Bagi memberi pendedahan khusus mengenai kawalan dalaman, program ini turut memuatkan Taklimat Prosedur Penerimaan dan Pemberian Hadiah, Keraian serta Sumbangan. Taklimat telah disampaikan oleh Puan Noor Elina binti Nassli, Ketua Unit Pematuhan daripada Bahagian Integriti JKR Malaysia. Pengisian taklimat ini memfokuskan kepada tatacara pelaporan dan pengurusan hadiah bagi memastikan setiap warga kerja mematuhi peraturan sedia ada serta mengelakkan sebarang bentuk konflik kepentingan dalam urusan rasmi.
Penganjuran Program Kembara Integriti Siri 2 ini diharap dapat memperkukuh komitmen warga JKR Negeri Johor dalam menjunjung prinsip integriti dan akauntabiliti. Usaha ini adalah selaras dengan visi jabatan untuk menjadi penyedia perkhidmatan bertaraf dunia serta pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek dan perkhidmatan kejuruteraan melalui modal insan yang kompeten dan berintegriti tinggi.