04/09/2026
Program Library2U @ Serambi Pustaka
Pada 26 Ogos 2026, Perpustakaan MITI telah melaksanakan Program Library2U bertempat di Serambi Pustaka, Aras 1, berhadapan Ronamera Cafe. Program ini merupakan inisiatif untuk mendekatkan perkhidmatan perpustakaan kepada warga MITI dengan menyediakan akses kepada bahan bacaan dan perkhidmatan perpustakaan secara lebih mudah dan santai.
Serambi Pustaka diwujudkan bersempena penyertaan Perpustakaan MITI dalam Pertandingan Sudut Bacaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ruang ini direka sebagai serambi ilmu yang selesa dan kondusif, membolehkan warga MITI membaca, meneroka bahan bacaan serta meluangkan masa dalam suasana yang santai.
Menerusi Program Library2U, warga MITI berpeluang membuat peminjaman buku, mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan perpustakaan serta mendaftar u-Pustaka bagi memperluas akses kepada sumber maklumat digital. Program turut dimeriahkan dengan Kuiz Kemerdekaan bersempena Bulan Kebangsaan, yang menguji pengetahuan peserta berkaitan sejarah, tokoh dan fakta menarik Malaysia serta menawarkan hadiah menarik kepada para peserta.
Penganjuran Library2U @ Serambi Pustaka diharap dapat menyemarakkan budaya membaca, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan mendekatkan warga MITI dengan perpustakaan, di samping menyemai semangat patriotisme bersempena Bulan Kebangsaan.