05/05/2026
https://youtu.be/BPCtZyGNXR0
BERLARI TANPA BATASAN: PENYERTAAN OKU CURI TUMPUAN DI KL FUSION RENTAK RUN 2026
KUALA LUMPUR, 26 April 2026 β Seramai 300 peserta larian daripada pelbagai kaum dan latar belakang telah memeriahkan program KL Fusion Rentak Run 2026 yang berlangsung di The Beat at Kiara Bay, Kepong, Kuala Lumpur serta Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur.
Program ini merupakan acara larian santai yang turut disertai pelbagai aktiviti kebudayaan, sekali gus menonjolkan kepelbagaian budaya dalam suasana harmoni dan semangat perpaduan.
Program anjuran Pertubuhan Regenerasi Sosial Malaysia (Malaysian Social Regeneration Organization) (MySRO) itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Perpaduan Negara, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri, Parlimen Kepong, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Kepong, UEM Sunrise Berhad bersama Melati Ehsan Group selaku penaja lokasi, serta Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Kepong.
Turut menyumbang kepada kejayaan program ialah penaja sektor swasta seperti See Boon Yong Construction Sdn Bhd, CPI Land Sdn Bhd, Gintell (M) Sdn Bhd, Sin Choi Wah Restaurant dan Win Hong Precision Metal Sdn Bhd.
Program yang bermula pada jam 3 petang itu telah dirasmikan oleh YBhg. Datoβ Dr. Roslan bin Hussin, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, sebelum pelepasan peserta bagi larian sejauh 3 kilometer.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau menekankan bahawa program berbentuk komuniti seperti ini mampu menjadi medium terbaik untuk mengeratkan perpaduan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Acara ini turut menyerlah apabila melibatkan penyertaan golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan yang berlari bersama peserta lain, sekali gus mencerminkan semangat inklusiviti serta penerimaan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Selain acara larian, program tersebut turut diserikan dengan jualan produk tempatan, persembahan kebudayaan, pakaian kreatif terbaik serta pertandingan nyanyian perpaduan yang melibatkan penyertaan masyarakat berbilang kaum.
Menurut pihak penganjur, KL Fusion Rentak Run 2026 bukan sekadar acara riadah, malah menjadi platform memperkukuh hubungan sosial dan menyemai nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat.
2 likes. "KL Fusion Rentak Run - Aku Kasih Malaysia"