02/09/2026
𝙉𝘼𝙃𝘼𝙎 𝙇𝙊𝙍𝙄 𝙏𝘼𝙉𝙂𝙆𝙄 𝙎𝙄𝙈𝙀𝙉: 𝙋𝙀𝙍𝙆𝙐𝙆𝙐𝙃 𝙋𝙀𝙉𝙂𝙐𝘼𝙏𝙆𝙐𝘼𝙎𝘼𝘼𝙉, '𝙎𝙋𝙀𝙀𝘿 𝙇𝙄𝙈𝙄𝙏𝙀𝙍' 𝘿𝘼𝙉 𝙆𝙀𝙈𝘽𝘼𝙇𝙄𝙆𝘼𝙉 𝙎𝙋𝘼𝘿 𝘿𝙀𝙈𝙄 𝙆𝙀𝙎𝙀𝙇𝘼𝙈𝘼𝙏𝘼𝙉 𝙋𝙀𝙉𝙂𝙂𝙐𝙉𝘼
Perikatan Nasional (PN) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragik membabitkan sebuah lori tangki simen dan beberapa kenderaan di 𝑲𝒊𝒍𝒐𝒎𝒆𝒕𝒆𝒓 110.3 𝑳𝒆𝒃𝒖𝒉𝒓𝒂𝒚𝒂 𝑷𝒂𝒏𝒕𝒂𝒊 𝑻𝒊𝒎𝒖𝒓 (𝑳𝑷𝑻1), yang mengorbankan empat nyawa.
Kemalangan sekitar jam 10.55 malam pada Hari Kebangsaan ini amat membimbangkan kerana berlaku pada tempoh yang lazimnya menyaksikan peningkatan jumlah pengguna jalan raya sempena cuti umum dan hujung minggu panjang.
PN melihat tragedi ini perlu dijadikan momentum untuk menilai semula pendekatan keselamatan kenderaan perdagangan negara melalui tiga perkara utama:
1. 𝐒𝐏𝐄𝐄𝐃 𝐋𝐈𝐌𝐈𝐓𝐄𝐑 𝐌𝐄𝐒𝐓𝐈 𝐃𝐈𝐊𝐔𝐀𝐓𝐊𝐔𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐏𝐄𝐍𝐔𝐇𝐍𝐘𝐀
PN memahami bahawa pelaksanaan 'road ban' secara menyeluruh pada hujung minggu panjang atau cuti umum boleh memberi kesan kepada operasi industri pengangkutan, logistik dan pembinaan.
Justeru, pendekatan yang lebih seimbang perlu diberikan keutamaan dengan memastikan 'Speed Limitation Device' (SLD) benar-benar dipasang dan dikuatkuasakan ke atas kenderaan perdagangan yang diwajibkan.
Kerajaan sebelum ini menetapkan penguatkuasaan penuh SLD bermula 1 Julai 2026, namun pelaksanaannya telah ditangguhkan. PN menggesa supaya kerajaan tidak membiarkan penangguhan ini menjadi ruang kepada ketidakpatuhan berterusan.
2. 𝗧𝗘𝗟𝗘𝗠𝗔𝗧𝗜𝗞 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗨 𝗗𝗜𝗣𝗘𝗥𝗖𝗘𝗣𝗔𝗧𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗗𝗜𝗝𝗔𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗜𝗡𝗦𝗧𝗥𝗨𝗠𝗘𝗡 𝗣𝗘𝗠𝗔𝗡𝗧𝗔𝗨𝗔𝗡
Pada masa yang sama, PN menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan sistem telematik bagi kenderaan perdagangan.
Telematik membolehkan aspek seperti kelajuan, corak pemanduan dan tingkah laku pemandu dipantau secara berterusan dan secara langsung (live monitoring) oleh operator dan menjana 'rating' untuk tempoh waktu tertentu untuk penilaian pihak berkuasa.
Data ini sepatutnya digunakan bukan sekadar sebagai rekod, tetapi sebagai instrumen penguatkuasaan untuk mengenal pasti operator dan pemandu yang mempunyai corak pemanduan berisiko.
Jika teknologi mampu mengenal pasti risiko sebelum kemalangan berlaku, maka penggunaannya tidak seharusnya dilihat sebagai beban tambahan kepada industri, sebaliknya sebagai pelaburan untuk keselamatan.
3. 𝗞𝗘𝗠𝗕𝗔𝗟𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗙𝗨𝗡𝗚𝗦𝗜 𝗦𝗣𝗔𝗗 𝗨𝗡𝗧𝗨𝗞 𝗣𝗘𝗠𝗔𝗡𝗧𝗔𝗨𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗧𝗘𝗥𝗨𝗦𝗔𝗡
PN sekali lagi mengulangi cadangan supaya fungsi dan kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dinilai untuk dikembalikan dalam bentuk sebuah badan pengawal selia yang lebih berfokus terhadap pengangkutan darat, khususnya kenderaan perdagangan.
Kita memerlukan pendekatan 'continuous compliance monitoring', bukan sekadar memastikan lori mematuhi syarat ketika pemeriksaan berkala, tetapi memastikan pematuhan amalan keselamatan bermula dari pengurusan syarikat sehingga kepada para pemandu dikekalkan sepanjang tempoh operasi.
4. 𝗧𝗔𝗡𝗚𝗚𝗨𝗡𝗚𝗝𝗔𝗪𝗔𝗕 𝗢𝗣𝗘𝗥𝗔𝗧𝗢𝗥 𝗝𝗨𝗚𝗔 𝗠𝗘𝗦𝗧𝗜 𝗗𝗜𝗣𝗘𝗥𝗞𝗨𝗞𝗨𝗛
PN berpandangan bahawa aspek keselamatan tidak boleh diletakkan semata-mata di atas bahu pemandu. Tanggungjawab pengendali atau operator juga perlu diperketatkan, termasuk memastikan jadual kerja yang munasabah, waktu rehat yang mencukupi serta tiada tekanan kepada pemandu untuk mengejar jumlah perjalanan (trip) sehingga mengabaikan aspek keselamatan.
Sudah tiba masanya tindakan tegas turut dikenakan terhadap operator sekiranya siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada amalan pengurusan yang tidak bertanggungjawab dan culas, termasuk memaksa pemandu bekerja secara berlebihan, gagal memberikan rehat yang mencukupi atau menyusun jadual perjalanan yang tidak munasabah.
Begitu juga dengan aspek penyelenggaraan kenderaan. Operator perlu dipertanggungjawabkan sekiranya didapati gagal memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi, termasuk masalah sistem brek, tayar yang tidak memenuhi piawaian keselamatan, kerosakan komponen kritikal atau sistem 'speed limiter' yang tidak berfungsi.
Dengan penguatkuasaan SLD yang tegas, penggunaan telematik secara menyeluruh serta pemantauan operator yang berterusan, keselamatan pengguna dapat dipertingkatkan tanpa perlu terlalu bergantung kepada 'road ban' yang boleh memberi kesan kepada kelangsungan operasi industri.
PN percaya keselamatan jalan raya mesti menjadi keutamaan, namun penyelesaian yang dilaksanakan perlulah tegas, berasaskan teknologi, berasaskan data serta mengambil kira realiti operasi industri pengangkutan.
𝐘𝐁 𝐈𝐫 𝐓𝐬 𝐊𝐡𝐚𝐢𝐫𝐢𝐥 𝐍𝐢𝐳𝐚𝐦 𝐊𝐡𝐢𝐫𝐮𝐝𝐢𝐧 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐨𝐫𝐭𝐟𝐨𝐥𝐢𝐨 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧𝐠𝐤𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐍𝐚𝐬𝐢𝐨𝐧𝐚𝐥 𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐏𝐚𝐫𝐥𝐢𝐦𝐞𝐧 𝐉𝐞𝐫𝐚𝐧𝐭𝐮𝐭