12/03/2026
[PESTA CHAP GOH MEI]
Pada 3 Mac 2026 yang lalu, seramai 10 Ahli Majlis DAP MBPJ telah menganjurkan Pesta Chap Goh Mei yang berlangsung dengan meriah di Taman Jaya. Program ini telah menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan untuk bersama-sama meraikan penutup sambutan Tahun Baharu Cina dalam suasana penuh warna-warni dan kegembiraan.
Sepanjang pesta tersebut, pelbagai persembahan kebudayaan yang menarik telah dipersembahkan kepada para pengunjung, antaranya persembahan wushu, Chinese yoyo, Chinese face changing, tarian singa, serta pertunjukan bunga api yang memeriahkan lagi suasana malam sambutan.
Chap Goh Mei merupakan perayaan yang disambut pada hari ke-15 dan juga hari terakhir sambutan Tahun Baharu Cina. Secara tradisinya, perayaan ini menandakan penutup kepada tempoh perayaan Tahun Baharu Cina dan sering diraikan dengan jamuan, persembahan kebudayaan, serta pelbagai aktiviti komuniti yang membawa masyarakat bersama-sama merayakan kegembiraan dan kemakmuran untuk tahun yang baharu.
Menariknya, jawatankuasa penganjur bagi program ini turut terdiri daripada mahasiswa universiti daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, yang telah berganding bahu dalam menjayakan program ini dengan penuh komitmen dan semangat sukarelawan.
Penganjuran program seperti ini bukan sahaja memeriahkan sambutan kebudayaan, malah turut menjadi ruang untuk memperkukuh perpaduan masyarakat serta menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negara kita.