12/07/2025
KENYATAAN MEDIA
SELAR ACARA LELONGAN ARAK DI SEKOLAH : SIAPA BERTANGGUNGJAWAB
KENYATAAN MEDIA
SELAR ACARA LELONGAN ARAK DI SEKOLAH : SIAPA BERTANGGUNGJAWAB
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menzahirkan kekesalan dan membantah sekeras-kerasnya penganjuran acara lelongan minuman keras yang dilaporkan berlangsung di dewan sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian. Lebih mengejutkan, acara tersebut bukan sahaja berlaku dalam kawasan institusi pendidikan, malah disusuli p**a dengan insiden pergaduhan yang memerlukan campur tangan pihak polis.
Kejadian ini sekali lagi membuktikan kelemahan ketegasan pihak berkuasa, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dalam mengekang cubaan pihak tertentu menormalisasikan budaya berkaitan arak di institusi pendidikan. Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku. Sebelum ini tular isu penajaan daripada syarikat arak kepada sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), yang sehingga kini tidak disusuli dengan tindakan tegas meskipun bercanggah dengan tatacara sumbangan berdasarkan Pekeliling KPM 2018.
Lebih mendukacitakan, apabila acara melibatkan arak masih boleh dianjurkan di premis sekolah, yang sepatutnya menjadi medan pembentukan sahsiah dan nilai murni dalam kalangan generasi muda. Sikap sambil lewa dan kelonggaran pihak berkaitan menimbulkan persoalan besar: siapakah yang memberikan kelulusan terhadap program sedemikian?
DUPP menegaskan bahawa isu arak bukan semata-mata persoalan agama atau perkauman, tetapi juga berkaitan maruah institusi pendidikan, moral masyarakat serta imej negara. Sekolah adalah tempat untuk menanam benih ilmu dan akhlak, bukan dicemari dengan aktiviti yang mencemarkan nilai pendidikan.
DUPP menggesa KPM tampil memberikan penjelasan segera berhubung perkara ini dan mengambil langkah tegas bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang. Semua institusi pendidikan sama ada SJK, sekolah kebangsaan mahupun swasta wajar dilindungi daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan integriti dan tujuan asal pendidikan.
Sekian.
YB DATO' USTAZ HAJI AHMAD BIN YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.
10 Julai 2025 Miladi bersamaan 14 Muharram 1447 Hijri