31/12/2025
PROGRAM CORPORATE SMART INTERNSHIP JABATAN PENJARA MALAYSIA - KEPIMPINAN IHSAN MADANI, BERI PELUANG KEDUA PROSPEK
Pendekatan pemulihan prospek yang lebih menyeluruh, berperikemanusiaan dan berorientasikan masa depan telah dilaksanakan melalui Corporate Smart Internship (CSI) oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Inisiatif ini mencerminkan penekanan dan hala tuju jelas YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri yang melihat pemulihan bukan sekadar penguatkuasaan, tetapi sebagai satu proses membina semula kehidupan melalui peluang kedua, kemahiran dan kebolehpasaran. Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pembangunan insan.
Melalui pelaksanaan CSI, prospek diberi peluang untuk memperoleh pengalaman kerja sebenar, meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan diri sebelum kembali sepenuhnya ke dalam masyarakat. Usaha ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan di penjara, malah menyediakan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan berdaya saing selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Sehingga 15 Disember 2025, program CSI telah melibatkan 735 majikan merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan, perladangan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian.
Sebanyak 9,425 peluang pekerjaan telah ditawarkan, dengan 6,165 prospek (65.41%) berjaya mendapat pekerjaan. Secara keseluruhan, 14,612 prospek telah ditawarkan peluang pekerjaan sepanjang tahun 2025.
Jabatan Penjara Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat terutamanya kepada majikan yang tampil memberi peluang kedua kepada prospek. Sokongan berterusan sektor industri dan komuniti amat penting bagi memastikan prospek dapat pulih sepenuhnya, membina kehidupan baharu yang lebih produktif dan dimanfaat sepenuhnya