10/06/2026
Projek tingkat infrastruktur bekalan air
RM300 juta diperuntukkan naik taraf sistem air Kota Kinabalu, menangani pelbagai isu
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM300 juta bagi melaksanakan projek peningkatan infrastruktur bekalan air di sekitar Kota Kinabalu bagi menangani pelbagai isu termasuk paip lama dan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang masih tinggi.
Perkara itu dimaklumkan pegawai Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Douglas Gumbilai Gumbilai ketika sesi perbincangan bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Likas, Glenna Wong, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Likas, Jacky Chin dan CDO Luyang, Yii Ming Sing.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi penggantian paip lama, pembaikan kebocoran, penambahbaikan rangkaian agihan air serta usaha mengurangkan kadar NRW.
Katanya, projek berkenaan dilaksanakan secara berperingkat di beberapa kawasan dan sebahagiannya dijangka
mengambil masa sehingga 18 bulan untuk disiapkan.
“Setakat ini, pelaksanaan projek masih berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Sebahagian kawasan di Kota Kinabalu masih menggunakan paip jenis Asbestos Cement Pipe (AC Pipe) yang sudah berusia puluhan tahun dan semakin uzur, sekali gus meningkatkan risiko kebocoran serta kerosakan,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian komponen serta alat ganti
bagi paip lama itu juga sukar diperoleh kerana tidak lagi dikeluarkan di pasaran.
Menurutnya, JANS kini giat menjalankan kerja pengesanan kebocoran, ujian tekanan serta pemeriksaan sistem paip bawah tanah bagi mengurangkan kehilangan air terawat.
“Bagaimanapun, kerja pembaikan di sesetengah kawasan memerlukan tempoh lebih panjang kerana membabitkan utiliti bawah tanah seperti kabel elektrik, talian telekomunikasi, sistem pembetungan dan kemudahan awam lain,” katanya.
Douglas berkata, peningkatan permintaan terhadap bekalan air terutama ketika musim cuti sekolah, cuti umum dan perayaan turut memberi kesan kepada beberapa kawasan tanah tinggi serta kawasan penghujung sistem bekalan yang mengalami tekanan air rendah.
Dalam pertemuan itu, wakil UPPM turut menyampaikan aduan serta maklum balas diterima daripada penduduk berkaitan masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan di kawasan perumahan, premis perniagaan serta institusi kesihatan.
Beliau berkata, pasukan teknikal JANS sedang menjalankan pemantauan dan siasatan berterusan bagi mengenal pasti punca masalah serta melaksanakan tindakan pembaikan yang diperlukan.
Menyentuh mengenai gangguan bekalan air, katanya, sekiranya masalah akibat kebocoran paip, kerosakan sistem atau kerja kecemasan berlarutan melebihi 24 jam, pihaknya akan mengatur penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas.
“Jika gangguan membabitkan kawasan yang luas, pengagihan lori tangki air akan dibuat mengikut keutamaan dan keperluan semasa.
“Penduduk juga digalakkan menyediakan tangki simpanan air yang mencukupi untuk kegunaan sekurangkurangnya sehari sebagai persediaan menghadapi sebarang gangguan tidak dijangka,” katanya.
Sementara itu, Glenna berkata, isu bekalan air adalah antara perkara yang paling kerap dibangkitkan penduduk dan sentiasa menjadi keutamaan UPPM dalam membantu masyarakat.
Katanya, UPPM akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan mengumpul maklum balas penduduk serta menyalurkan isu yang dihadapi kepada pihak berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan lebih berkesan.
News sources : E-paper Utusan Borneo