03/06/2026
LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR UNIVERSITI MALAYSIA SABAH KE KM BANGGI
Kota Kinabalu, 3 Jun 2026 โ Seramai 26 orang pelajar daripada Fakulti Sains Marin, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai program Lawatan Sambil Belajar ke Kapal Maritim Malaysia (KM) Banggi pada hari ini.
Program tersebut turut disertai oleh Profesor Madya Dr. Juanita Joseph, pensyarah dari Fakulti Sains Marin UMS.
Ketibaan rombongan telah disambut oleh Leftenan Komander Maritim Musli bin Jaffar, Pegawai Laksana KM Banggi, bersama pegawai dan anggota kapal. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai fungsi, peranan serta tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjaga keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.
Sepanjang lawatan, para pelajar telah dibawa meninjau beberapa bahagian utama kapal serta diberikan penerangan mengenai operasi dan keupayaan KM Banggi dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang maritim, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), serta perlindungan kepentingan maritim negara.
Program ini turut membuka ruang kepada para pelajar untuk memahami dengan lebih dekat aspek pengurusan dan operasi aset maritim serta peranan penting yang dimainkan oleh warga APMM dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Lawatan berakhir dengan sesi bergambar kenangan dan pertukaran cenderahati sebagai tanda penghargaan serta simbolik jalinan kerjasama yang erat antara Universiti Malaysia Sabah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.