30/05/2026
ππππππ πππππππ ππππ πππππππ πππππ πππππππ ππππππππ πππππ ππππ πππ ππππππ
Alhamdulillah, Majlis Ibadah Korban Perdana Orang Asli/Mualaf Negeri Kelantan bagi Tahun 1447H/2026M anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berlangsung dengan penuh harmoni dan semangat ukhuwah.
Sebanyak 70 ekor lembu telah diperuntukkan pada tahun ini melibatkan 64 ekor untuk komuniti Orang Asli Islam di negeri ini.
Sementara 6 ekor lagi dikhaskan kepada saudara baharu yang mana majlis korban dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) pada Aidiladha keempat, sebagai tanda kebersamaan serta pendekatan dakwah penuh hikmah yang sentiasa menjadi keutamaan MAIK.
Proses sembelihan diadakan di 8 lokasi utama sejak hari pertama Aidiladha dan berakhir pada hari ini, 30 Mei 2026. Acara kemuncak majlis korban diadakan di RPS Kuala Betis, Gua Musang.
Daging-daging korban ini diagihkan kepada seramai 3,850 ketua isi rumah Orang Asli di seluruh Kelantan, melibatkan 21 pos penempatan.
Acara kemuncak majlis yang berlangsung di RPS Kuala Betis turut dihadiri Al-Fadhil Ustaz Mohd Afifi bin Ahmad @ Ahmad Ashaari, Pegawai Dakwah Kanan MAIK dan Yang Berusaha Encik Sapuddin bin Yusoff, Penggawa Daerah Galas serta Yang Berusaha Encik Muhamad Yusrizal bin Ghani, Ketua Seksyen Perancangan, Penyelidikan dan Kepimpinan JAKOA Negeri Kelantan & Terengganu.
Pada majlis hari ini, Al-Fadhil Ustaz Mohd Afifi telah menyempurnakan pelepasan pacuan 4 roda bagi penghantaran daging korban di pos pedalaman iaitu di Pos Gob, Pos Balar, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Hau serta Pos Tohoi termasuk Kuala Koh dan juga Aring 5.
Program ini bukan sekadar menyampaikan daging korban sempena Aidiladha, bahkan menjadi medan merapatkan hubungan kasih sayang, menyuburkan nilai kemanusiaan dan memperkukuhkan usaha dakwah kepada masyarakat pedalaman.
Pendekatan turun padang yang dilaksanakan oleh MAIK ini jelas memperlihatkan keprihatinan berterusan institusi ini dalam memastikan masyarakat Orang Asli dan mualaf tidak pernah dipinggirkan daripada menikmati limpahan rahmat dan kebahagiaan Aidiladha.
Lebih bermakna, program korban ini turut menjadi medium penting dalam menyantuni masyarakat melalui pendekatan dakwah bil hal iaitu dakwah menerusi akhlak, kebajikan dan pelayanan yang dekat di hati masyarakat.
Keikhlasan petugas yang sanggup meredah perjalanan jauh ke kawasan pedalaman demi menyampaikan amanah korban membuktikan bahawa usaha dakwah tidak hanya tertumpu di bandar, bahkan terus subur menjangkau masyarakat yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.
Semoga usaha murni yang dilaksanakan ini terus menjadi asbab penyatuan ummah, memperkukuhkan kefahaman Islam dan menyemarakkan lagi semangat pengorbanan serta kasih sayang sesama insan.