22/12/2025
KENYATAAN MEDIA
Mengutuk Kenyataan YB Yeo Bee Yin
Wanita Kelantan memgecam keras terhadap kenyataan serta tindakan YB Yeo Bee Yin yang dilihat tidak sensitif, tidak beradab dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin susulan perkembangan kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Lebih membimbangkan, kenyataan tersebut dibuat dalam konteks isu titah adendum, yang masih menjadi perkara serius dan sensitif kerana ia berkait rapat dengan kedudukan serta kuasa Institusi Diraja sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebarang ulasan bersifat sinis, provokatif atau seolah-olah memperlekeh perkara ini adalah amat tidak wajar dan boleh ditafsir sebagai tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.
Wanita Kelantan menegaskan bahawa kehormatan Institusi Diraja mesti menjadi keutamaan paling utama, mengatasi kepentingan politik sempit dan sentimen partisan. Institusi ini adalah payung kedaulatan negara, lambang perpaduan rakyat, dan tidak seharusnya dijadikan bahan polemik atau modal politik.
Sebagai seorang Ahli Parlimen dan bekas menteri, YB Yeo Bee Yin sepatutnya lebih memahami batas adab dalam mengulas perkara yang melibatkan institusi kehakiman dan Institusi Diraja, bukannya menambah ketegangan serta mengguris perasaan rakyat.kami kesal kerana sedikit pun tiada semangat menjaga hubungan rakan kerjasama dalam Kerajaan.
Wanita Kelantan menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang meraikan penderitaan orang lain, memperlekeh proses undang-undang, dan gagal menghormati asas kenegaraan. Perbezaan ideologi politik tidak menghalalkan sikap tidak berperikemanusiaan serta tidak beretika.
Wanita Kelantan akan terus mempertahankan adab, kedaulatan undang-undang dan kehormatan Institusi Diraja, serta menolak politik kebencian dan provokasi.
Sekian, terima kasih.
“Institusi Diraja Dijunjung, Keadilan Dijunjung Bersama”
Norwahida patuan
Ketua Wanita Wanita Umno Kelantan.