30/11/2025
30.11.2025
RAKYAT KIULU TELAH MEMILIH
Saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Joniston Bangkuai atas kemenangan beliau di N.15 Kiulu pada pilihan raya kali ini. Keputusan ini adalah suara rakyat Kiulu yang kita semua hormati, dan saya menerimanya dengan hati yang terbuka. Semoga YB Datuk Joniston terus diberi kekuatan dan kebijaksanaan untuk memimpin serta membawa lebih banyak kemajuan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat Kiulu.
Saya juga ingin merakamkan setulus-tulus penghargaan kepada Presiden Parti Warisan, YB Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, atas kepercayaan, sokongan dan bimbingan beliau sepanjang perjalanan ini. Terima kasih kerana memberikan keyakinan kepada saya untuk membawa suara Warisan di Kiulu.
Tidak lupa kepada seluruh penyokong, sukarelawan, PACA, serta jentera Warisan Kiulu—terima kasih atas kerja keras, masa dan tenaga yang dicurahkan sejak hari pertama kempen sehingga selesai proses pilihan raya.
Dalam kesempatan ini, saya dengan rendah hati memohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang tempoh kempen. Setiap teguran dan pandangan akan saya jadikan pedoman untuk memperbaiki diri dan terus berkhidmat dengan lebih baik.
Perjuangan untuk membela rakyat dan membawa perubahan tidak akan terhenti di sini. KITA AKAN TERUS BERSAMA DEMI KIULU
Terima kasih, Kiulu.
SAIBIN GUNSARI