22/04/2026
𝗞𝗘𝗠𝗔𝗧𝗜𝗔𝗡 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗛𝗜𝗗𝗨𝗣𝗞𝗔𝗡 𝗝𝗜𝗪𝗔-𝗝𝗜𝗪𝗔 𝗠𝗨𝗗𝗔
Assalamualaikum WBT
Saya mohon izin untuk menulis di ruangan ini. Untuk berkongsi rasa, untuk menjadikan cerita ini tauladan kepada anak muda, paling tidak pun, untuk meringankan sedikit rasa rindu yang sangat berat ini, terhadap adik kesayangan saya.
Mohammad Dzul Nazri Bin Abdul yang telah terkorban dalam nahas bot karam, 19 April 2026 di Muara sungai Kg. Batu Gadung, Kota Belud. Arwah pergi keluar memancing dengan 7 orang lagi rakan lain, dengan tujuan mencari sekais rezeki dibawa balik ke rumah, berakhir dengan kisah duka, 6 orang selamat, 2 lagi telah pergi buat selamanya.
Saya bukanlah abang kandung Zul. Tapi saya adalah abang usrah dia. Dan sesiapa yang masuk jadi adik usrah saya, saya akan anggap macam adik sendiri.
Usrah bermaksud keluarga. Ada rasa cinta, mau jaga baik sesama, dan ada ledakan impian yang mahu dicapai bersama. Didasari dengan ilmu dan tautan ukhuwwah yang diikat dengan akidah. Tiada apa yg boleh melonggarkan tautan ini.
Tahun 2022 adalah tahun Allah pertemukan Zul dan kawan-kawan usrah yang lain dengan abang. Kamu datang ke pusat internet perpustakaan, di situlah pertemuan pertama kita.
Lepas sesi sekolah, dengan pakai uniform sekolah, bersongkok. Zul dan kawan-kawan "melukis" di komputer. Banyak-banyak benda yang boleh dilukis, kamu lukis tong sampah di komputer. Dan abang tanya untuk apa?
Kau cakap mau tampal di dinding sekolah. Sebab kau nda s**a tengok kawan-kawan kau tinggalkan sampah di laci, di dalam kelas. Time tu kamu masih tingkatan 1.
Sejak hari itu abang jatuh cinta dengan akhlak kamu. Dan sejak hari itu abang "kutip" kamu ke sana ke mari. Kau, Sharman, Aiman, Jaidi, dan Haziq.
4 tahun abang pegang kamu, kita berusrah di Masjid Pekan, di tepi sungai, dan di mana pun kita s**a. Kita cerita-cerita tentang akidah, ibadah, mengaji, dan kita belajar cara-cara solat di mana-mana pun kita berprogram. Kadang kita saja duduk cerita pasal kehidupan, halatuju hidup, begitulah.
Dari awal perkenalan lagi, abang sudah nampak keistimewaan kau berbanding kami semua. Abang yakin sahabat-sahabat lain pun rasa benda yang sama. Semangat kau menuntut ilmu dan kenal tujuan hidup tu luar biasa. Setiap bait kata yang keluar dari mulut abang, kau renung tajam, kau catat, dan kau terus amalkan.
Kau yang paling rajin dari kami. Kadang aktiviti kita nda semua best pun. Kita sakit kepala pikir program yang kita nda pernah kita buat, kau sanggup kelihatan pelik di mata orang ramai, buat apa yang abang suruh, kadang hari kita penuh dengan kerja berat, buang sampah berlonggok-longgok selepas program, kaulah yang nda pernah mengeluh, dan kau nda tunjuk pun kau mau mengalah. Sebab kau tahu program kita tu beri manfaat kepada orang lain.
Ini menguatkan semangat abang mengemudi usrah kita. Dan abang pun ambil kesempatan tumpang kekuatan semangat kau untuk terus istiqamah dengan perjuangan.
Kadang abang buat-buat lupa perjumpaan kita. Ataupun terpaksa saja usung diri penat dari kerja dan tanggungjawab lain, tapi sebab kau yang wasap "bang, bila kita usrah?" Tubuh abang terus segar, salin pakaian dan ambil kamu di rumah.
Abg nda akan pernah lupa setiap siri pertemuan kita. Dari saat kau perkenalkan diri (ta'aruf) di bulatan kecil kita, abang tahu kau bukan datang dari keluarga senang, ada "tanda" pada bahasa tubuh kau yang menunjukkan kau sedang memikul tanggungjawab besar kepada keluarga, walaupun kau masih di bangku sekolah. Abang minta kau kenalkan diri, kau pun senyum kambing cerita pasal diri kau, keluarga kau di rumah tu, dan hal di sekolah.
Sampailah topik kita berkembang kepada apa itu akidah, apa makna kita menganut agama Islam, sampailah kita bercerita tentang kewajipan jihad, pengorbanan, kegawatan ummat, isu-isu yang berlaku di negara kita dan negara Islam yang lain.
Kau paling minat kalau kita start cerita pasal Palestine. Kita cerita pasa pas**an Hamas, apa ciri-ciri mereka dan kita cuba contohi. Esok-esok dia kau beli baju-baju ada bendera Hamas tu ntah dari mana kau dapat duit.
Disaat tubuh kau kaku di dalam bilik mayat. Abang tersenyum tengok wajah putih kau, di bajumu ada bendera palestine. Sehingga akhir hayat kau buat abang bangga. Kakak kau Amirah cakap, kau mau betul pegi sana untuk berjuang, kau mau mati syahid.
Dan alhamdulillah, Allah makbulkan permintaan kau, Allah cabut nyawa kau dengan kau lemas bertarung nyawa di tengah lautan tu. InsyaAllah kau dapat pahala syahid dari hadith Nabi SAW yang pernah kita belajar.
Abang pernah warning kau jangan biasa betul turun mancing naik bot tu. Tapi abang tahu semangat juang kau tu, kau akan ada jawapan kau sendiri, dan abang tahu ikan-ikan yang kau dapat tu, itulah santapan kamu makan sekeluarga di rumah. Kadang kau bawa kami bakar-bakar ikan tu berkongsi rezeki, bukan sekadar seronok saja.
Lagipun kalau abang larang-larang kau. Macam abang bercakap depan cermin. Macam-macam juga kau hujah sama abang, jadi abang biar ja. Abang nda akan pernah lupa kamu dapat ikan sama si Jaidi, malam tu juga kita bakar di tepi jalan ja bercahayakan lampu kereta.
Kelmarin, waktu abang dengan mamy seharian urus mau kasi keluar kau daei bilik forensik tu, mamy cerita kaulah paling rapat sama nenek, kau yang potong kuku dia, bersihkan dia, jaga dia time dia sakit. Selalu juga abang terserempak dengan kau sama nenek di pasar, kau yang kasi teman nenek beli keperluan dapur kamu.
Semalam nenek suruh buka ja pintu depan rumah, sebab mau tunggu kau p**ang. Abang ndatau laa macam mana mau cakap betapa kuatnya mamy dan semua di rumah hadapi situasi tu.
Kepimpinan dan sikap tanggungjawab kau tu bukan saja di rumah, tapi juga di kalangan belia-belia masjid, dan dalam Kelab Remaja Ukhuwah. Kau berani ambil risiko, kau tau amanah kau, kau tau mendengar arahan, dan tidak akan putus asa. Sebabtulah kami lantik kau jadi pengerusi KRU Kota Belud.
Hari ahad, hari yang tragedi nahas tu berlaku, jujur senak betul hari abang, macam lain betul rasa haritu, buat apa pun nda jadi, nda sedap rasa. Sampailah malam tu orang start share berita tu. Abang terus ke hospital KB, kebingungan, abang ndatau mau rasa apa, sampailah Ikram, Aiman dan Sharman sampai di sama, kawan usrah kau. Abang terus peluk dorang dan nda dapat tahan sudah sebak di dada.
Malam tu keluarga dan kawan-kawan sudah start ramai, esoknya pun kawan-kawan ramai datang dari pagi ke petang. Semua menunggu keputusan hospital untuk serahkan jenazah kau.
Jujur abang pun belum percaya apa kami buat semua kumpul-kumpul depan bilik mayat tu. Kenapa kami perlu ada di situ.
Tapi apakan daya akal perlu tunduk dengan hakikat. Kewarasan perlu dipandu dengan takdir yang telah tertulis.
Kau pergi tinggalkan kami selamanya, saat kami rindu ingin bertemu denganmu.
Abang redha dengan pemergianmu Zul. Tatkala fikiran abang masih terus memikirkan apa lagi yang kita boleh kerjakan bersama di hari-hari esok dan kedepannya.
Allah jauh lebih sayangkan kau, dalam banyak-banyak bunga, mestilah bunga yang mekar indah dipetik dahulu.
Abang halalkan setiap detik kita bersama, setiap kata dan perbuatan kau terhadap abang. Semua itu terlalu kecik berbanding kenangan indah kita menempuh jalan dakwah dan tarbiah ini.
Di saat remaja lain sibuk memikirkan keseronokan apa yang mereka mahu lakukan, engkau isi hidupmu dengan majlis-majlis ilmu, berprogram di masjid. Yang paling abang terkedu, engkau gagah hulurkan bantuan tiap kali kita ada misi kebajikan di kampung-kampung, sedangkan keluarga kau pun orang susah.
Abang dan semua doakan kau damai di sana. Bersama para syuhada' dan solehin. Ditempatkan di syurga Firdaus bertemu dengan Nabi kita Muhammad SAW. Tariklah abang masuk syurga nanti Zul. Kau pergi dengan Husnul Khatimah, moga-moga kami turut dikurniakan nikmat itu.
Terima kasih Zul, jadi adik usrah abang 4 tahun ini.
Terima kasih tolong abang handle kawan-kawan lain.
Terima kasih sebab sudi temankan dikala abang sendirian.
Terima kasih jadi parajurit perkasa dengan tubuh kecikmu itu.
Terima kasih jadi contoh baik kepada abang.
Terima kasih sudi dengar hasrat abang untuk kamu orang muda.
Terima kasih sudi memahami kenapa abang buat kamu macam tentera.
Abang minta maaf buat kasar dengan kau.
Abang minta maaf sebab tegas tidak kena masa.
Abang hanya mau kau jadi 10 kali lagi hebat dari abang. Menghadapi akhir zaman ini.
Menyambung obor perjuangan, membela agama tercinta.
Abang sangka kita akan meraih kemenangan bersama, tapi abang lupa ajal tidak mengira usia muda ataupun tua.
Kau pergi menghadap Allah, mendahului kami.
Kini tinggallah kami untuk teruskan perjuangan suci ini,
Moga kami dapat istiqamah, sehingga peroleh syahid seperti kau suatu hari nanti.
*** Penulis merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Belud