01/06/2026
TAHUKAH ANDA?
Tarikh Penting 1 Jun 2026, beberapa perubahan dasar dan inisiatif
10 PERKARA PERUBAHAN DASAR DAN INISIATIF MULAI 1 JUN 2026
Berikut ialah ringkasan 10 perkara utama yang akan berkuat kuasa.
1. Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP)
Skim SPPP di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ini menawarkan pengecualian fi pendaftaran perniagaan sehingga RM120 untuk tempoh dua tahun.
Ia terbuka kepada usahawan B40 serta pelajar sepenuh masa di IPT, politeknik, kolej serta institut/pusat kemahiran.
2. LINDUNG 24 jam PERKESO
Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) PERKESO memberi perlindungan kemalangan sepanjang masa termasuk di luar waktu kerja dan semasa cuti.
Caruman ditanggung pekerja mengikut kadar berperingkat bermula 0.75% hingga 1.25% mengikut fasa pelaksanaan.
3. Akta sewa beli pindaan 2026
Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 membawa pembaharuan terbesar dalam industri pembiayaan kenderaan Malaysia.
Perubahan utama ini bertujuan meningkatkan ketelusan dan mengelakkan pengguna daripada membayar faedah berlebihan. Antara penambahbaikan terlibat ialah pemansuhan Rule of 78 & Pengenalan Kaedah Reducing Balance.
Selain itu, transformasi digital seperti kebenaran penggunaan tandatangan digital dan elektronik, penyerahan dokumen secara elektronik juga akan dilaksana. Ini akan menjadikan proses lebih cepat dan mudah tanpa perlu bersemuka.
4. MyKad versi baharu
MyKad baharu akan dilengkapi 53 ciri keselamatan termasuk kod QR.
Walau bagaimanapun, penukaran tidak diwajibkan kerana MyKad sedia ada masih sah digunakan.
5. Rebat pemasangan solar rumah
Kerajaan menawarkan rebat sehingga RM3,000 bagi pemasangan solar kediaman di bawah program SuRIA Home (Sustainable Rebate and Incentive Assistance).
Inisiatif ini dibuka kepada pemasangan solar yang di bawah program Solar ATAP yang mula beroperasi bagi tempo sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga kuota 250MW dipenuhi, yang mana terdahulu.
Pelaksanaan rebat ini juga tertakluk kepada prinsip first come, first served.
6. ONSA Lindungi Kanak-kanak Dalam Talian
Dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) akan dikuatkuasakan.
Ia bertujuan memperkukuh keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak dalam platform digital.
7. Pelaksanaan biodiesel B15
Pelaksanaan adunan biodiesel B15 merupakan langkah strategik memperkukuh keselamatan tenaga negara tanpa menjejaskan eksport minyak sawit berkenaan.
B15 mengurangkan kebergantungan kepada diesel fosil import dan menggalakkan penggunaan tenaga alternatif yang lebih mampan.
8. Penetapan kuota SKDS
Sistem kuota Fleet Card SKDS akan ditetapkan antara 900 hingga 5,000 liter bagi sektor pengangkutan barangan tertakluk kepada 23 kategori kenderaan.
Ia bertujuan memastikan subsidi diesel bersasar disalurkan kepada pihak yang benar-benar layak dengan lebih efisien.
9. Kelayakan SKDS untuk jip dan pikap
Kenderaan jenis jip dan pikap turut dimasukkan dalam kategori layak menerima SKDS bagi sektor logistik.
Ini memperluaskan akses subsidi diesel bersasar.
10. Pindaan Perlembagaan berkenaan kewarganegaraan
Pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan dijangka memberi kelonggaran kepada anak yang lahir di luar negara daripada ibu warganegara Malaysia.
Walau bagaimanapun, pelaksanaannya masih menunggu pengumuman rasmi Jabatan Pendaftaran Negara.
PENGELUARAN PASPORT MALAYSIA ANTARABANGSA (PMA) VERSI BAHARU
Dalam perkembangan berkaitan dokumen perjalanan, pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang sepatutnya diperkenalkan pada 1 Jun 2026 telah ditangguhkan ke tarikh lain.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran sistem dan pengalaman pengguna yang lebih baik.
Orang ramai masih boleh menggunakan serta memperbaharui pasport sedia ada seperti biasa sehingga tamat tempoh.
KESIMPULAN
Tarikh 1 Jun 2026 membawa pelbagai perubahan penting yang memberi kesan kepada rakyat dari pelbagai aspek kehidupan, daripada urusan perniagaan, keselamatan digital, tenaga hingga pengangkutan.
Dalam masa yang sama, penangguhan pasport baharu menunjukkan penekanan terhadap kelancaran pelaksanaan sebelum diperkenalkan secara rasmi.