26/04/2026
HARI POLIS KE-219: WARGA KRISTIAN PDRM IPD KENINGAU ANJUR MISA KHAS DI GEREJA LAUDATO’SI RRKK TATAL
Keningau, 26 April 2026 – Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219, warga Polis Diraja Malaysia yang beragama Kristian di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau telah menganjurkan Misa Khas di Gereja Katolik Laudato’Si RRKK Tatal, di sini, pagi tadi.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Polis Daerah Keningau, YDH SUPT Yampil Anak Garai bersama isteri YBhg. Pn. Juyah Lamon, Pengerusi PERKEP Keningau serta Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis, Pegawai Awam, ahli PERKEP daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dan PGA Batalion 21 Keningau, Persatuan Bekas Polis Malaysia serta ahli keluarga. Turut hadir, Yang Mulia Uskup Datuk Cornelius Piong, Uskup Keuskupan Keningau, Sabah yang memimpin upacara misa.
Misa yang berlangsung dalam suasana penuh tertib dan khusyuk itu dimulakan dengan perarakan masuk, diikuti Liturgi Sabda, Homili, Doa Umat serta Liturgi Ekaristi. Penyampaian Homili oleh Uskup turut menekankan kepentingan nilai integriti, amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai anggota penguat kuasa.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira lebih 500 peserta terdiri daripada warga PDRM dan komuniti setempat, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap pasukan keselamatan negara.
Penganjuran Misa Khas ini menjadi wadah untuk memohon keberkatan, perlindungan serta kekuatan rohani kepada seluruh warga PDRM agar sentiasa diberi keselamatan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran tugas yang semakin kompleks.
Selain itu, program ini turut berperanan sebagai platform dalam memperkukuh hubungan silaturahim antara warga polis dan masyarakat, di samping menyemai nilai-nilai kerohanian, perpaduan serta semangat kekitaan dalam kalangan semua yang hadir.
Secara keseluruhannya, penganjuran misa khas ini berjaya mencapai objektifnya dalam menghargai jasa dan pengorbanan anggota PDRM, selain memberi impak positif dari aspek spiritual, moral dan sosial, sejajar dengan aspirasi pasukan dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara.