25/05/2026
Info Kraf
Peralatan yang digunakan dalam proses mengukir adalah seperti berikut :
1) Pahat
Alat ukir yang dibuat daripada besi yang sebelah hujungnya tajam untuk menebuk atau mengukir kayu. Terdapat berbagai-bagai jenis pahat yang digunakan mengikut fungsinya antaranya ialah :-
- Pahat Lurus yang digunakan untuk membalak dan melicinkan ukiran.
- Pahat Kuku yang digunakan untuk membentuk dan membuat lekuk sederhana.
- Pahat Kerup digunakan untuk membuat lekuk yang dalam.
2) Pisau wali
Pisau yang bermata tajam ini digunakan pada ukiran yang tidak boleh dipahat serta digunakan untuk menyilat, membuat kemasan akhir dan membuat urat.
3) Tukul Kayu
Tukul kayu digunakan untuk mengetuk pahat semasa mengukir. Tukul dibuat daripada kayu yang keras, kuat dan mempunyai daya pantulan. Antara kayu tersebut ialah kayu ciku, limau dan jambu.
4) Kikir
Alat ukir bermata keluli yang bergeriji halus pada permukaan dan tepinya. Kikir digunakan untuk melicinkan, merata dan mengikis ukiran.
5) Gergaji
Gergaji ialah bilah besi yang mempunyai banyak mata tajam yang digunakan untuk memotong dan membentuk linkungan. Terdapat juga gergaji yang digunakan untuk menebuk seperti gergaji sengat pari.
6) Kertas pasir
Kertas pasir mempunyai kekesatan yang berbeza-beza seperti halus, sederhana dan kasar yang digunakan untuk melicinkan dan menghaluskan ukiran.
Sumber/Rujukan :
Ukiran Kayu Warisan Melayu
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
Edisi Pertama 2009