20/03/2026
Perang di Timur Tengah: Rakyat terkesan, peniaga terkesan, Kerajaan masih bersahaja?
Hari ini adalah hari ke-21 konflik perang di Timur Tengah melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.
Setakat ini, tiada tanda-tanda bahawa perang ini akan berakhir dalam masa terdekat. Penutupan Selat Hormuz yang menjadi laluan untuk 20% minyak dunia telah memberi kesan besar. Hampir 90% minyak yang melalui Selat Hormuz disalurkan ke pasaran Asia, termasuk China, India, Jepun dan Korea Selatan. Ini antara rakan dagang terbesar Malaysia.
Selain itu, 20% gas asli cecair dunia pun melalui selat ini dan sekitar satu per tiga perdagangan baja dunia pun melalui selat ini. Keadaan menjadi lebih meruncing apabila serangan demi serangan dibuat ke atas loji minyak dan gas, termasuk Ras Laffan di Qatar yang merupakan hab LNG terbesar di dunia.
Hakikatnya, perang ini membawa kepada gangguan besar kepada bekalan tenaga dunia. The Wall Street Journal melaporkan bahawa terdapat jangkaan harga minyak dunia akan mencecah sehingga 180 dolar Amerika setong jika perang berlarutan selepas April.
Tentunya, semua ini akan memberi kesan ketara kepada ekonomi Malaysia. Walaupun harga petrol RON95 bersubsidi kekal, kenaikan mendadak harga diesel sebanyak RM1.60 seliter dalam tempoh dua minggu merupakan satu kejutan kepada rantaian bekalan. Ini belum termasuk kenaikan bahan-bahan mentah di pasaran dunia serta komponen-komponen pengeluaran dan perkhidmatan lain yang terkesan akibat perang.
Akhirnya, kos operasi perniagaan akan melonjak naik dan harga barangan serta perkhidmatan juga akan meningkat. Keterjaminan makanan negara juga akan terkesan akibat konflik perang ini. Hakikat yang tidak dapat dinafikan, kos operasi peniaga terkesan dan sudah tentunya kehidupan rakyat akan terkesan.
Namun, saya lihat seolah-olah Kerajaan tidak terkesan dengan krisis besar dunia ini!
Walaupun konflik perang telah berlarutan 21 hari, Kerajaan seolah-olah hilang punca tentang apa tindakan terbaik yang patut dilakukan. Tidak ada perancangan komprehensif yang diperlihatkan tentang pendekatan yang akan digunakan kerajaan bagi menangani cabaran besar ini. Pengumuman yang dibuat hanyalah kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen bagi dua minggu berturut-turut serta pengumuman bahawa tiada rumah terbuka rasmi Kerajaan.
Sebenarnya, banyak persoalan yang Kerajaan perlu perjelaskan. Kalau hendak disenaraikan semuanya terlalu panjang. Saya kongsikan beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan:
1. Apa yang akan berlaku sekiranya harga minyak dunia terus meningkat?
a) Adakah harga diesel akan terus dinaikkan 80 sen seminggu?
b) Apakah kenaikan harga diesel ini akan meningkatkan risiko penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak kerana terdapat perbezaan harga yang ketara? Apa yang Kerajaan sedang dan akan laksanakan untuk menangani risiko ini?
c) Apakah nilai ambang harga minyak dunia yang akan menyebabkan Kerajaan menilai semula harga petrol bersubsidi RON95?
d) Apakah kerangka keseluruhan model penetapan harga minyak yang akan digunakan sekiranya konflik perang berterusan?
e) Berapakah lamakah simpanan minyak dan gas Malaysia boleh bertahan bagi menampung kegunaan domestik sekiranya berlaku gangguan bekalan?
2. Apakah pendekatan Kerajaan untuk membantu peniaga-peniaga, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sebelum keadaan menjadi lebih meruncing?
a) Langkah-langkah yang pernah digunakan oleh Kerajaan ketika menangani kesan pandemik COVID-19 kepada ekonomi boleh dipertimbangkan. Dalam konteks ini sebagai contoh, ada peniaga kantin sekolah yang bertanya, “Kalau masa COVID dahulu, Kerajaan bagi diskaun serta pengecualian sewa kepada peniaga-peniaga kecil yang menyewa premis kerajaan, takkan dalam keadaan krisis sekarang tak boleh buat yang sama?”.
Sejujurnya, saya cukup risau melihat pendekatan bersahaja Kerajaan menangani kesan konflik perang kepada Malaysia. Kepada Kerajaan, bangunlah!
Usah tunggu bila keadaan semakin meruncing baru hendak bertindak.
DRJ
Putrajaya
20 Mac 2026