05/06/2026
MAJLIS PENYERAHAN DOKUMEN HAKMILIK TANAH DAN SURAT KELULUSAN LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA (LPS) NEGERI PERLIS TAHUN 2026
Kangar, 4 Jun 2026 (Khamis) : Hari ini telah diadakan Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik Tanah dan Surat Kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Menteri Besar Perlis.
Majlis ini merupakan simbolik kepada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan khususnya dalam memastikan rakyat negeri Perlis mendapat hak pemilikan tanah. Kerajaan Negeri sentiasa secara konsisten dan memberikan komitmen tinggi dalam memproses permohonan pemberimilikan tanah kerajaan di mana direkodkan lebih 696 hak milik tanah dan 547 Lesen Pendudukan Sementara (LPS) telah diluluskan kepada rakyat Negeri Perlis sejak dari tahun 2022.
Pada tahun ini, sebanyak 46 permohonan pemberimilikan tanah individu, 102 permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) telah diluluskan Kerajaan Negeri dan dijangka sebanyak 60 permohonan lagi akan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam suku tahun kedua tahun ini. Dalam majlis ini, seramai 33 telah menerima dokumen atau surat kelulusan masing-masing yang terdiri daripada 15 penerima dokumen hak milik dan 18 penerima surat kelulusan LPS. Penyerahan dokumen ini diharap dapat membuka peluang kepada pemilik untuk mendapat manfaat sepenuhnya tanah ini dengan mengusahakan tanah seperti syarat yang ditetapkan, menjalankan aktiviti ekonomi, merancang pembangunan hartanah atau menjadikan tanah sebagai aset bernilai untuk generasi akan datang.
Kerajaan Negeri Perlis amat prihatin dan memahami denyut nadi rakyat dalam isu berkaitan tanah. Pelbagai langkah penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan urusan tanah dapat diurus dengan lebih cekap, telus dan sistematik. Ini termasuk mempercepatkan proses permohonan, memperkemaskan pengurusan rekod tanah dan memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan berkaitan tanah. Majlis sebegini akan dilaksanakan secara berfasa dan berterusan bagi menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam memberikan komitmen terbaik kepada rakyat Negeri Perlis terutamanya dalam memproses permohonan pemberimilikan tanah. Dalam memastikan pemilikan tanah terjamin, pemohon tanah yang telah diluluskan pemberimilikan tanah oleh Kerajaan Negeri hendaklah menjelaskan bayaran Notis 5A dalam masa yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kelulusan tersebut terbatal.
Kesemua Pemegang Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di Negeri Perlis juga diingatkan untuk memperbaharui lesen masing-masing pada setiap tahun dan mematuhi semua syarat lesen yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri. Pemilik tanah p**a digesa untuk menjelaskan cukai tanah dalam tempoh masa yang ditetapkan serta memastikan semua aktiviti yang dijalankan di atas tanah mematuhi perundangan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI PERLIS
(Dikeluarkan pada 4 Jun 2026)