23/04/2026
Sempena sambutan Hari Membaca Sedunia, satu program galakan membaca " JOM BACA BERSAMA 10 MINIT"telah berjaya dianjurkan di Perpustakaan Desa Sungai Sumun pada hari Khamis, 23 April 2026, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 60 orang yang terdiri daripada murid-murid, guru serta ibu bapa.
Program ini turut melibatkan kerjasama daripada beberapa pusat pendidikan awal kanak-kanak iaitu KEMAS Sungai Sumun, KEMAS Batu 20, KEMAS Sungai Haji Muhammad dan KEMAS Selekoh. Penglibatan ini jelas menunjukkan komitmen bersama dalam memupuk minat membaca serta pembelajaran secara kreatif dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Pelbagai pertandingan menarik telah dianjurkan bagi menceriakan program serta menarik minat peserta, antaranya:
Puzzle 3D
Pertandingan Mewarna
Susun Perkataan
Isi Barang Dalam Beg
Susun Cerita
Kesemua aktiviti yang dijalankan bukan sahaja menguji kreativiti dan kemahiran berfikir, malah turut membantu meningkatkan daya imaginasi serta keyakinan diri peserta. Program seperti ini diharapkan dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam melahirkan masyarakat yang berilmu dan cintakan budaya membaca.