26/05/2026
SAMBUTAN PENGHAYATAN HARI ARAFAH PERINGKAT DAERAH BESUT 1447H/2026M DISAMBUT MERIAH
Pada 26 Mei 2026 β Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Daerah Besut 1447H/2026M telah berlangsung dengan penuh penghayatan dan suasana harmoni di Masjid Alur Lintah hari ini.
Majlis yang bermula pada 6.00 petang ini menghimpunkan masyarakat setempat bagi menghayati kelebihan Hari Arafah melalui pengisian kerohanian dan ceramah khas yang disampaikan oleh Ustaz Kamaruddin bin Mat Shahril, Pembantu Hal Ehwal Islam.
Program tersebut turut diserikan dengan sesi munajat dan Doa Arafah yang memberi peluang kepada para jemaah untuk bermunajat serta memohon keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT sempena hari yang penuh kemuliaan itu.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Haji Mohd Nurkhuzaini bin Ab Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau merangkap ADUN Kota Putera.
Turut hadir memeriahkan program ialah YBrs. En. Ahmad Rizal bin Mamat, Pegawai Daerah Besut; YB. Dr. Riduan bin Mohamad Nor, ADUN Jertih; YB. Mohd Husaimi bin Hussin, ADUN Hulu Besut; serta YB. Haji Azbi bin Salleh, ADUN Kuala Besut.
Program anjuran tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar yang hadir bersama keluarga bagi mengimarahkan masjid serta menambah penghayatan terhadap kepentingan Hari Arafah dalam kehidupan umat Islam.