11/02/2026
Muhyiddin gagal selesai krisis dalaman parti, boleh ancam kestabilan PN - Zamri
JOHOR BAHRU: Kemelut kepimpinan BERSATU Johor dilihat semakin meruncing susulan dakwaan kegagalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan krisis dalaman yang berlarutan sejak dua minggu lalu.
Ketua BERSATU Bahagian Sri Gading, Zamri Ahmad, berkata sikap berdiam diri kepimpinan tertinggi parti khususnya Muhyiddin, amat mengecewakan dan berpotensi mengancam keutuhan BERSATU serta kestabilan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan rasmi atau pelan penyelesaian dikemukakan berhubung desakan 14 Ketua Bahagian BERSATU Johor yang meminta Pengerusi BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, meletakkan jawatan selepas didakwa kehilangan sokongan majoriti kepimpinan bahagian.
"Hampir dua minggu berlalu sejak desakan terbuka itu dibuat, namun Muhyiddin masih membisu tanpa sebarang tindakan tegas. Ini bukan isu kecil, sebaliknya membabitkan soal legitimasi kepimpinan negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamri berkata, kegagalan Muhyiddin menangani krisis berkenaan jelas mencerminkan kelemahan kepimpinan mengurus isu dalaman parti, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan Johor yang juga negeri kelahiran presiden sendiri.
Beliau berkata, sebagai Presiden, tanggungjawab utama adalah mendengar suara akar umbi, menghormati keputusan majoriti kepimpinan bahagian dan bertindak tegas demi kestabilan parti.
"Sebaliknya, sikap berdiam diri ini hanya membiarkan perpecahan terus membarah dan menghakis keyakinan ahli serta penyokong terhadap BERSATU," katanya.
Sementara itu, Zamri turut melahirkan kebimbangan terhadap apa yang disifatkan sebagai politik dalaman sempit oleh individu tertentu di sekeliling Muhyiddin yang didakwa 'menikam dari dalam'.
Beliau mendakwa terdapat pihak terus menyerang Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, selain menghasut naratif negatif terhadap rakan komponen utama PN iaitu PAS.
"Tindakan sebegini bukan saja tidak matang, malah menggambarkan kegagalan presiden mengawal pasukan kepimpinannya sendiri. Politik menikam rakan seperjuangan hanya melemahkan parti dan menguntungkan pihak lawan," katanya.
Zamri berkata, kelemahan kepimpinan itu turut memberi kesan kepada hubungan BERSATU-PAS yang dilihat semakin tegang dan tidak terurus, sekali gus menjejaskan kekuatan PN sebagai sebuah gabungan politik.
"PN dibina atas asas kepercayaan, saling menghormati dan kesepakatan strategi. Jika Presiden gagal menjadi pendamai dan penyatu, gabungan ini akan terus rapuh," katanya.
Beliau berkata, pendekatan politik yang eksklusif dan defensif bukan saja melemahkan jentera PN, malah mengelirukan penyokong serta menggugat kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Sehubungan itu, Zamri berkata, kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU dan peneraju PN perlu dinilai semula secara serius demi kelangsungan parti dan masa depan gabungan berkenaan.
"Seorang pemimpin yang gagal menyelesaikan krisis partinya sendiri, membiarkan perpecahan berlarutan dan merosakkan hubungan dengan rakan komponen tidak lagi wajar memegang mandat besar untuk memimpin sebuah gabungan nasional," katanya.
Beliau berkata, perubahan drastik dan berani perlu dilakukan segera bagi mengelak BERSATU dan PN terus hanyut dalam krisis berpanjangan serta hilang kepercayaan rakyat.
Dipetik: Ramlee Wahab SUB Bersatu Sri Gading/Medsos bersatu-PN Johor/Nasionalis Baru Abad 21