03/06/2026
Ini punca anak cepat bosan walaupun sedang bercuti
Melaka: Di sebuah padang permainan ketika musim cuti, kanak-kanak kelihatan duduk di atas alat permainan.
Mereka berada di kawasan bermain, namun tangan masih memegang telefon. Mata tunduk ke skrin. Dunia sebenar ada di depan mata, tetapi perhatian sudah dikunci oleh dunia digital.
Terus terang kata, inilah antara punca anak-anak hari ini cepat bosan. Bukan kerana dunia luar tidak menarik, tetapi kerana otak mereka sudah terlalu biasa dengan hiburan yang terlalu pantas.
Dalam telefon, semua benda bergerak laju. Video bertukar dalam beberapa saat. Warna terang. Bunyi kuat. Ganjaran segera.
Bila otak sudah biasa dengan rangsangan begini, taman permainan, perbualan keluarga, menunggu makanan, berjalan di tempat baru atau melihat pemandangan boleh terasa terlalu perlahan.
Dari sudut psikologi kanak-kanak, rasa bosan sebenarnya penting.
Bila anak bosan, mereka mula berfikir, mencipta permainan, bercakap dengan orang sekeliling, memerhati dunia dan belajar mengurus emosi sendiri.
Tetapi apabila setiap rasa bosan terus โdiselamatkanโ dengan telefon, anak kehilangan latihan kecil ini.
Lama-kelamaan, mereka bukan sahaja cepat bosan, tetapi lebih sukar fokus, lebih cepat merungut dan kurang sabar dengan aktiviti biasa.
Telefon bukan musuh. Ibu bapa juga tidak perlu rasa bersalah jika sesekali memberi anak telefon ketika penat, menunggu lama atau dalam perjalanan jauh.
Tetapi jangan sampai skrin menjadi jawapan kepada semua rasa bosan. Anak perlu diberi peluang untuk hidup dalam dunia sebenar, walaupun pada awalnya mereka merungut.
Sumber:Public Health Malaysia