31/05/2026
KUNCI DIBERI, PADAH MENANTI — 2 MOTOSIKAL REMAJA BAWAH UMUR DISITA, RX-Z EKZOS UBAH SUAI TURUT DIAMBIL TINDAKAN JPJ MELAKA
Melaka, 31 Mei 2026 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka telah melaksanakan Ops Motosikal sempena Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal berada pada tahap yang memuaskan.
Dalam operasi tersebut, dua (2) buah motosikal telah disita selepas dikesan dipandu oleh remaja bawah umur yang tidak memiliki lesen memandu yang sah. Tindakan tegas diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengingatkan ibu bapa dan pemilik kenderaan agar tidak membenarkan individu bawah umur menggunakan kenderaan di jalan raya.
Selain itu, sebuah motosikal turut diambil tindakan kerana tidak mempamerkan nombor pendaftaran, manakala beberapa buah motosikal lagi dikesan menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Dalam operasi yang sama, dua (2) buah motosikal Yamaha RX-Z telah diambil tindakan atas kesalahan mengubah suai sistem ekzos, yang bukan sahaja menyalahi peraturan malah mengganggu ketenteraman awam dan boleh menjejaskan aspek keselamatan kenderaan.
JPJ Negeri Melaka akan terus mempergiatkan operasi dan penguatkuasaan sepanjang Ops HRAA 2026 bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Orang ramai diingatkan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan sebarang pelanggaran undang-undang tidak akan dikompromi.
"Jangan Serah Kunci Kepada Bawah Umur, Jangan Ubah Suai Hingga Mengundang Bahaya."