02/03/2025
RISALAH PENERANGAN 77.0
NGA KOR MENG USAH PERSENDAKAN ISLAM.
Islam adalah agama suci yang diredhai oleh Allah SWT untuk sekalian hamba-Nya. Islam agama rahmat untuk sekalian alam. Islam tidak memusuhi golongan bukan Islam, bahkan Islam tidak memaksa golongan bukan Islam menganutinya kerana Islam diterima berdasarkan keimanan dan keyakinan.
Malaysia adalah negara yang dibina dengan kepelbagaian bangsa dan agama. Namun Islam tetap teguh sebagai Agama Persekutuan yang perlu dihormati oleh semua pihak. Dalam masa yang sama agama lain juga boleh diamalkan oleh penganutnya. Perkara ini termaktub dalam perlembagaan negara kita. Sesebuah negara itu akan terus harmoni apabila rakyatnya saling menghormati perlembagaan dan rukun negara yang menjadi asas pembinaan negara dan kontrak sosial.
Mutakhir ini kita melihat terdapat pemimpin di kalangan bukan Islam yang sewenang-wenangnya mencampuri urusan agama Islam. Bermula dengan cubaan mentafsirkan ayat-ayat Al-Qur'an dan cuba menghuraikan Islam secara terbuka juga cubaan menyebarkan ajaran agama lain kepada masyarakat Islam. Begitu juga komen tentang ajaran Islam dan yang terkini Nga Kor Meng mempersendakan ibadat solat hajat umat Islam. Ini adalah suatu yang biadap terhadap umat Islam kerana beliau bukanlah orang yang selayaknya berbicara tentang itu kerana cahaya iman dan ilmu belum menyinari dadanya.
Justeru dalam hal ini pihak berwajib seharusnya menegur dan memperbetulkan keadaan yang nampaknya semakin longgar dan bebas ini. Adalah tidak wajar perkara ini dibiarkan semakin menjadi-jadi. Isu mempersendakan agama perlu dielakkan bagi mewujudkan masyarakat yang kekal harmoni lebih-lebih lagi dalam majlis terbuka dan secara terbuka.
Pemimpin yang tidak prihatin terhadap sensitiviti masyarakat tidak layak untuk dilantik menjadi pemimpin. Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan taufiq kepada umat ini. Allaahumma Aamiin.
'Islam Adalah Penyelesaian'
Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.
24 Rejab 1446H
24 Januari 2025