21/04/2026
Tinggal sehelai sepinggang sekelip mata. Sayu dan luluh hati bila tengok visual kebakaran yang musnahkan ratusan rumah di Sandakan baru-baru ni. Berat sungguh ujian yang mereka terpaksa lalui. Salam takziah buat semua mangsa, moga diberi kekuatan emosi dan fizikal.
Tragedi sebesar ini sebenarnya membuka mata kita tentang satu realiti yang paling digeruni ketika kebakaran.
Bila sebut je rumah terbakar, ramai antara kita terbayang ngerinya dijilat api. Tapi dari sudut perubatan forensik, majoriti mangsa yang terkorban sebenarnya bukan kerana api.
Mereka tewas kerana asap. Asap membunuh jauh lebih pantas daripada api.
Waktu rumah mula terbakar, asap tebal akan bawa gas beracun seperti Karbon Monoksida. Bila gas ni masuk ke paru-paru, ia akan "rampas" oksigen dalam darah kita. Dalam masa 2 hingga 3 minit sahaja, otak akan terus 'shutdown'. Mangsa akan jadi pening, rebah, dan lemas sebelum api sempat sampai.
Api mungkin ambil masa untuk marak, tapi asap boleh penuhkan satu rumah dalam kiraan saat.
Sebab itu, tolong simpan memori 3 langkah hidup mati ini kalau (minta dijauhkan) rumah kita mula berasap:
1. TINGGALKAN SEMUA HARTA. NYAWA TIADA GANTI.
Jangan patah balik cari dompet, geran tanah, atau telefon. Harta boleh dicari semula, tapi setiap saat yang anda bazirkan dalam ruang berasap tu mengurangkan peratusan anda untuk bernafas. Lari keluar sejauh mungkin.
2. JANGAN BERDIRI. MERANGKAK LAJU KE BAWAH.
Asap panas dan toksik sifatnya ringan, ia akan berkumpul di siling dan paras atas dulu. Ruang udara yang masih ada sedikit oksigen bersih adalah di paras lantai (kira-kira 2 kaki dari bawah). Merangkak serendah yang boleh cari pintu keluar.
3. TEKUP HIDUNG & MULUT DENGAN KAIN BASAH.
Jika ada air berdekatan, basahkan baju, tuala atau apa saja kain dan tekup muka. Air pada kain tu akan bertindak sebagai "penapis" sementara untuk halang partikel asap dan debu panas dari membakar saluran pernafasan anda.
Kita tak minta diuji dengan musibah, tapi kita wajib tahu cara nak lindungi nyawa keluarga kita. Kongsikan ilmu keselamatan ini. Biar ia jadi 'survival skill' untuk kita semua.