09/05/2026
PROGRAM PENCEGAHAN JENAYAH ANTI SCAMMER DAN PENGENALAN APLIKASI VSP BERSAMA PENDUDUK TAMAN GEMBIRA JOHOR BAHRU
Johor Bahru, 9 Mei 2026 – Satu Program Pencegahan Jenayah Anti Scammer dan pengenalan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) telah diadakan di Balai Raya Taman Gembira, Johor Bahru, hari ini dengan kehadiran lebih kurang 60 orang penduduk setempat.
Program tersebut dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman jenayah penipuan dalam talian serta memperkukuhkan kerjasama antara pihak polis dan komuniti setempat dalam usaha membanteras jenayah.
Hadir mewakili Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan ialah DSP Ahmad Shamsul bin Rebu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Johor Bahru Selatan. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Balai Polis Majidee, Sub Inspektor Kamarudin bin Muhaiyiddin, Koperal Mohd Ashraf bin Mohamad Nor selaku penyelia sektor, bersama tiga anggota Balai Polis Majidee.
Sepanjang program, DSP Ahmad Shamsul telah berkongsi maklumat penting berkaitan keselamatan akaun bank, perlindungan maklumat peribadi, serta langkah-langkah pencegahan jenayah harta benda dan jenayah penipuan siber yang semakin berleluasa.
Selain itu, anggota Balai Polis Majidee turut memperkenalkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) kepada para penduduk. Aplikasi tersebut membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah atau isu keselamatan dengan lebih cepat, mudah dan berkesan terus kepada pihak polis.
Program turut diserikan dengan sesi soal jawab bersama penduduk Taman Gembira yang membincangkan pelbagai isu berkaitan jenayah komersil dan masalah keselamatan semasa di kawasan perumahan mereka.
Penganjuran program ini berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman scammer serta memperkukuhkan hubungan erat antara Polis Diraja Malaysia dan komuniti setempat demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni.