17/09/2026
KEMELUT YAMTUAN NEGERI SEMBILAN: APA YANG BERUBAH DALAM 44 HARI PENTADBIRAN BAHARU?
Kemelut institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bukanlah isu yang bermula dengan kerajaan negeri hari ini.
Ia tercetus secara terbuka pada 19 April 2026, apabila satu proklamasi berkaitan kedudukan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dibuat oleh pihak Undang Yang Empat.
Sejak itu, isu ini menjadi pertikaian yang cukup kompleks yang melibatkan adat, kedudukan Undang Yang Empat, institusi Yang di-Pertuan Besar serta tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Kemudian berlaku pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri.
Pada 2 Ogos 2026, Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Malah, istiadat angkat sumpah beliau sendiri berlangsung di hadapan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti.
Hanya 44 hari selepas mengangkat sumpah, satu perkembangan besar berlaku dalam kemelut yang telah berlarutan sejak April.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?
1. Kerajaan baharu mewarisi kemelut, bukan memulakannya
Ini fakta pertama yang perlu diperjelaskan.
19 April 2026 : proklamasi yang menjadi asas kepada kemelut ini dibuat.
2 Ogos 2026 : kerajaan bertukar dan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.
15 September 2026 : MMK bermesyuarat dan mengambil pendirian mengenai isu tersebut.
Maknanya, ketika kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran, kemelut ini telah pun berlangsung selama 105 hari.
Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila ada pihak cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan baharu masuk, kemudian memulakan usaha untuk menjatuhkan Raja.
Kronologinya tidak begitu.
Kerajaan baharu masuk ketika kemelut itu sudah pun berlaku.
2. Ini bukan keputusan UMNO untuk memilih atau menurunkan Raja
Ini bahagian paling penting untuk difahami.
Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan yang tersendiri dan unik.
Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat, Menteri Besar dan kerajaan negeri mempunyai fungsi serta kedudukan masing-masing menurut Undang-Undang Tubuh.
Malah pada 15 September, Menteri Besar sendiri menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Maksud mudahnya…
Bukan Presiden UMNO yang menentukan.
Bukan UMNO yang menentukan.
Bukan Menteri Besar seorang yang menentukan.
Setiap institusi mempunyai fungsi dan batas kuasanya sendiri menurut Undang-Undang Tubuh.
Sebab itu isu sebesar ini tidak boleh dipermudahkan menjadi slogan politik bahawa…
“UMNO menggulingkan Raja.”
Persoalan sebenarnya ialah siapa mempunyai kuasa menurut Undang-Undang Tubuh, apakah prosedurnya dan adakah proses tersebut telah dipenuhi.
3. Persoalan dibawa kembali kepada institusi dan Undang-Undang Tubuh
Dalam keadaan isu semakin panas, kerajaan negeri mengambil pendirian bahawa perkara ini perlu dinilai berdasarkan UUTKNS 1959 dan prinsip Raja Berperlembagaan, bukannya sekadar pertimbangan politik atau peribadi.
Antara persoalan asas yang perlu dijawab ialah…
Apakah sumber kuasa perlembagaan bagi sesuatu proklamasi?
Apakah syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh?
Dan adakah semua syarat serta prosedur tersebut telah dipenuhi?
Ini penting.
Kerana menghormati Raja bukan bermaksud kita mengetepikan Undang-Undang Tubuh.
Menghormati institusi Raja juga bermaksud menghormati adat, sistem dan perlembagaan yang menjadi asas kepada institusi tersebut.
4. Akhirnya satu keputusan kolektif MMK dicapai
Pada 15 September 2026, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersidang.
Pada 16 September, Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian kolektif terhadap proklamasi berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut, MMK mengambil pendirian bahawa proklamasi bertarikh 19 April telah ditandatangani dan dicap mohor oleh Undang Luak yang sah.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
Perhatikan satu perkara.
Ini bukan keputusan sebuah parti politik.
Ia dinyatakan sebagai keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berdasarkan kedudukan yang diambil terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri.
Itu perbezaan yang cukup besar.
5. Kedudukan Yamtuan baharu turut dinyatakan
Kenyataan MMK seterusnya menyatakan bahawa proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 adalah teratur dan sempurna.
Atas pendirian tersebut, MMK menyatakan Tuanku Nadzaruddin dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pentadbiran kerajaan negeri turut diarahkan mengambil langkah sewajarnya bagi melaksanakan keputusan tersebut.
6. Bagaimana p**a dengan pembubaran DUN pada 5 Jun?
Ini antara persoalan yang kini dibangkitkan.
Jika proklamasi itu bertarikh 19 April, bagaimana p**a dengan pembubaran DUN yang berlaku selepas tarikh tersebut?
Rekod menunjukkan Tuanku Muhriz memberikan perkenan kepada pembubaran DUN yang berkuat kuasa pada 5 Jun 2026, dan SPR kemudiannya menerima pemakluman rasmi pembubaran tersebut menurut Fasal 56(2) UUTKNS.
Kemudian timbul p**a persoalan…
Jika tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos diperlukan untuk menyempurnakan proklamasi, apakah kedudukan tindakan-tindakan yang berlaku antara 19 April hingga 3 Ogos?
Ini persoalan undang-undang yang wajar dibahaskan.
Tetapi kewujudan persoalan tersebut tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa kerajaan baharu yang mencetuskan kemelut ini, apatah lagi membuktikan bahawa sebuah parti politik telah “menggulingkan Raja”.
Sebaliknya, ia menunjukkan betapa kompleksnya kemelut yang diwarisi.
Kita perlu membezakan antara tarikh sesuatu proklamasi dibuat, tarikh prosesnya disempurnakan dan tarikh kesan undang-undangnya bermula.
Jika terdapat pertikaian mengenai tafsiran atau kesan undang-undangnya, saluran kehakiman tetap tersedia untuk menentukannya. Menteri Besar sendiri telah menyatakan perkara tersebut.
Itulah bagaimana sistem Raja Berperlembagaan sepatutnya berfungsi.
Pertikaian undang-undang dijawab dengan undang-undang.
7. Kenapa 44 hari ini penting?
Ismail mengangkat sumpah pada 2 Ogos.
Mesyuarat yang menghasilkan pendirian kolektif MMK berlangsung pada 15 September.
44 hari.
Kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran ketika kemelut ini sudah berlangsung selama 105 hari.
Dalam tempoh 44 hari berikutnya, isu yang sebelumnya berlegar sebagai pertikaian melibatkan adat, institusi dan tafsiran Undang-Undang Tubuh akhirnya sampai kepada satu pendirian kolektif MMK.
Itulah fakta yang perlu dilihat sebelum terlalu mudah menggunakan perkataan “derhaka”.
Proklamasi 19 April bukan bermula dengan kerajaan baharu.
Kerajaan hari ini belum wujud ketika kemelut tersebut tercetus.
Menteri Besar sendiri menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa unilateral menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Dan apabila kerajaan negeri akhirnya mengambil pendirian, ia dibuat melalui MMK dengan merujuk kepada kerangka UUTKNS.
Orang boleh mempertikaikan tafsiran undang-undangnya.
Persoalan mengenai 19 April, pembubaran DUN pada 5 Jun dan tandatangan pada 3 Ogos juga boleh terus dibahaskan melalui saluran yang sewajarnya.
Tetapi pertikaian terhadap kesan sesuatu keputusan tidak mengubah kronologi bagaimana kemelut ini bermula.
Kerajaan baharu tidak mencipta kemelut ini. Kerajaan baharu mewarisinya.
Dan dalam tempoh hanya 44 hari, satu pendirian kolektif kerajaan negeri akhirnya berjaya dicapai terhadap satu kemelut institusi yang telah berlarutan berbulan-bulan.
Itu bukan keputusan yang kecil.
Dan tentunya bukan keputusan yang mudah.
Dalam isu sebesar ini…melibatkan institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat, adat Negeri Sembilan dan Undang-Undang Tubuh, apa sahaja keputusan pasti mempunyai implikasi yang besar.
Tahniah Datuk Ismail Lasim kerana berani berhadapan dengan kemelut yang diwarisi dan membawa perkara yang begitu sukar ini kembali ke meja institusi untuk diputuskan.
Keberanian dalam pentadbiran bukan sekadar membuat keputusan yang mudah atau pop**ar.
Kadangkala keberanian ialah bersedia berhadapan dengan satu kemelut yang telah lama tertangguh, kemudian mengembalikannya kepada adat, institusi dan kerangka perlembagaan untuk ditentukan.
Akhirnya, jangan jadikan institusi Raja sebagai senjata dalam pertarungan politik.
Raja mesti dihormati.
Adat mesti dipelihara.
Undang-Undang Tubuh mesti dijunjung.
Dan fakta mesti didahulukan daripada sentimen politik.
Kerana mempertahankan Raja Berperlembagaan bukan sekadar melaungkan kesetiaan kepada Raja.
Ia juga bermaksud menghormati adat, institusi dan Undang-Undang Tubuh yang menentukan bagaimana sistem itu berfungsi.