26/09/2018
Henti makan telur penyu!
SETIU – Seorang renjer hutan sanggup menahan keinginannya untuk menikmati hidangan telur penyu sejak lebih 20 tahun lepas bagi memastikan pop**asi reptilia itu terus bertambah dan tidak diancam kepupusan.
Aziz Mustafa berkata beliau tidak sanggup berbuat demikian kerana beranggapan setiap telur penyu itu mengandungi embrio yang mampu menghasilkan 100 biji telur pada masa akan datang.
"Walaupun potensi bagi seekor anak penyu untuk hidup adalah amat rendah namun, sebiji telur itu mungkin menjadi seekor ibu penyu yang kelak menyumbang pop**asi lebih banyak pada masa akan datang,” katanya.
Aziz, 42, yang mesra dikenali sebagai Abang Man merupakan anak jati Pulau Redang. Antara tugasnya adalah memantau setiap pergerakan penyu yang terdapat di kawasan Santuari Penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang yang dikendalikan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak 1998.
Menurutnya memakan telur penyu adalah lazim dalam kalangan sesetengah penduduk di kawasan pantai kerana mereka didedahkan dengan mitos bahawa telur penyu mempunyai pelbagai khasiat walaupun ia belum disahkan pakar dan penyelidik.
Sebelum ini, beliau sering mengikut penduduk kampung mengutip telur penyu di kawasan Chagar Hutang kerana pada masa itu, sarang dan telur penyu itu dipajakkan kerajaan kepada penduduk di p**au berkenaan.
Chagar Hutang adalah sebuah pantai terpencil di hujung utara Pulau Redang, satu daripada tiga pantai penyu bersarang di p**au itu.
Mereka mempunyai lesen yang sah untuk mengambil dan menjual telur penyu tetapi pada 2004, kesemua lesen itu tamat tempoh dan tidak lagi diperbaharui, katanya.
"Bagaimanapun pada 2005, kerajaan negeri mewartakan lima pantai di Pulau Redang iaitu di Chagar Hutang, Pasir Bujang, Mat Kepik, Mat Simpang dan Che Keling untuk dijadikan sebagai santuari penyu.
“Sejak itu, penduduk kampung tidak lagi dibenarkan mengambil telur berkenaan di kawasan tersebut," kata Aziz.
Langkah itu dapat meningkatkan pop**asi penyu dengan kajian yang dijalankan UMT menunjukkan jumlah penyu dewasa yang mendarat untuk bertelur di kawasan Chagar Hutang bertambah setiap tahun.
Aziz berpendapat masyarakat perlu terus diberi penerangan dalam usaha memupuk kesedaran supaya mereka tidak lagi menggunakan alasan ‘meningkatkan kesihatan’ untuk menikmati hidangan telur penyu.
"Mungkin sukar menghalang masyarakat untuk berhenti makan telur penyu tetapi ia boleh bermula dari rumah,” katanya.
Beliau berkata perkongsian maklumat dengan masyarakat juga boleh memberi kesedaran bahawa pemuliharaan penyu sebenarnya adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan ia tidak pupus ditelan zaman.- Bernama