15/05/2026
SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 💐
Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik yang sentiasa komited mencurahkan ilmu, membimbing potensi dan membina masa depan generasi muda. Tema “Guru Bitara Nadi Negara” amat bertepatan dalam menghargai jasa guru sebagai tunjang utama pembangunan masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing di semua peringkat pendidikan.
Dalam konteks pendidikan tinggi, peranan guru dan pensyarah menjadi semakin penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki pemikiran kritis, kemahiran kepimpinan dan nilai profesionalisme. Setiap ilmu, bimbingan dan dorongan yang diberikan menjadi asas kepada pembentukan modal insan yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.
Institusi pendidikan hari ini juga bukan sekadar tempat penyampaian ilmu, tetapi medan melahirkan inovasi, kepakaran dan idea baharu demi pembangunan masyarakat dan negara. Di sebalik setiap kejayaan pelajar dan graduan, terdapat usaha gigih para pendidik yang terus istiqamah mendidik, membimbing dan memberi inspirasi tanpa mengenal jemu. Inilah manifestasi sebenar bahawa guru merupakan “nadi negara” yang menggerakkan kecemerlangan bangsa dan masa depan negara.
Sempena sambutan Hari Guru ini, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pendidik atas jasa, pengorbanan dan dedikasi yang tidak ternilai. Teruskan menjadi inspirasi dalam memartabatkan pendidikan serta melahirkan generasi masa depan yang cemerlang, berintegriti dan berwawasan.
Ikhlas daripada,
Pengurusan Tertinggi dan
Warga Kementerian Pendidikan Tinggi
Zambry Abd. Kadir
Adam Adli
Aminuddin Hassim