15/06/2026
HBP SIRI KE-4 TERIMA REKOD TERTINGGI ADUAN, KERAJAAN NEGERI PERAK TERUS PERKUKUH PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT
IPOH, 15 JUN 2026 – Kerajaan Negeri Perak terus memperkukuh komitmen dalam mendekati rakyat menerusi penganjuran Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri Ke-4 Tahun 2026 yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, penganjuran Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) ini merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam menyantuni rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berfokuskan keperluan masyarakat.
“Pada hari ini, sebanyak 262 aduan telah diterima dan merupakan yang tertinggi setakat penganjuran Program HBP, sekali gus menunjukkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap program ini sebagai platform yang berkesan untuk menyuarakan permasalahan.
“Setakat siri ketiga, kita telah berjaya mengumpulkan sejumlah 600 aduan, dengan 498 (83%) daripadanya telah diselesaikan, manakala baki 102 (17%) aduan masih dalam proses tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri Ke-4 Tahun 2026.
Hadir sama YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) dan YBrs. Encik Muhammad Nazri bin Abdullah, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Perak.
Dalam majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif kepada Pesara Kerajaan Negeri Perak Tahun 2025 yang disampaikan kepada 10 orang wakil pesara yang bersara dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Beliau berkata, pemberian insentif tersebut merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada pesara yang telah menabur bakti dan menyumbang kepada pembangunan Negeri Perak sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam sektor awam.
“Melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian insentif berjumlah RM4,000 kepada pesara Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Badan Berkanun Negeri yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan yang ditetapkan.
“Selain itu, setiap pesara turut menerima cenderamata persaraan bernilai RM600 sebagai simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat.
“Secara keseluruhannya, seramai 324 pesara layak menerima insentif tersebut dengan jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi tahun 2025 sebanyak RM1,374,400 dan kesemua penerima akan menerima insentif berkenaan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP),” ujarnya lagi.
Penganjuran Program HBP kali ini menampilkan 100 kaunter khidmat pelanggan, 10 kaunter bergerak dan sembilan reruai pameran, selain turut disertai dengan Jualan Murah dan Jualan Rahmah bagi memberi kemudahan serta manfaat terus kepada rakyat.