10/04/2026
DATUK BANDAR SERU WARGA MBI PERKUKUH INTEGRITI DAN FOKUS PERKHIDMATAN ASAS DEMI KESEJAHTERAAN WARGA BANDARAYA IPOH
Ipoh, 9 April 2026 - YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh menyeru seluruh warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk terus memperkukuh integriti, kecekapan dan keikhlasan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan asas yang berkualiti dan konsisten.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Jalinan Kasih Datuk Bandar bersama warga MBI 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan semangat Syawal yang turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Haji Ahmad Saleh bin Haji Sarif, Mantan Datuk Bandar Ipoh Ketiga, YBhg. Dato' Haji Roshidi bin Haji Hashim, Mantan Datuk Bandar Ipoh Kelapan, YBhg. Dato' Harun bin Rawi, Mantan Datuk Bandar Ipoh Kesembilan, Tuan Haji Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, YBhg. Dato' Haji Mazlan bin Abd. Rahman, Tuan Wong Kar Keat,Ketua WHIP Ahli Majlis, Ahli Majlis dan Ketua Jabatan MBI.
Menurut beliau, dalam menghadapi cabaran semasa termasuk krisis tenaga global yang memberi kesan kepada kos sara hidup dan ekonomi negara, masyarakat perlu mengamalkan gaya hidup sederhana, mengelakkan pembaziran serta tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih.
“Ketahanan masyarakat bermula daripada sikap kita sendiri. Elakkan penyebaran maklumat tidak sahih dan amalan 'panic buying', sebaliknya patuhi arahan pihak berkuasa serta rujuk sumber yang tepat,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, Datuk Bandar menegaskan bahawa MBI perlu kembali kepada asas (back to basic) dalam melaksanakan fungsi sebagai Pihak Berkuasa Tempatan dengan memberi keutamaan kepada perkhidmatan asas seperti pengurusan sampah, penyelenggaraan jalan, longkang, landskap serta lampu jalan.
“Apa yang penting bukan apa yang warga Bandaraya Ipoh nampak, tetapi apa yang warga Bandaraya Ipoh rasa. Pengalaman harian warga Bandaraya Ipoh adalah penilaian sebenar terhadap perkhidmatan kita,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan komitmen MBI dalam merealisasikan Pelan Strategik MBI 2021–2030 yang menjadi panduan pembangunan Ipoh ke arah bandar pintar, mampan dan sejahtera. Antara aspirasi utama pelan tersebut termasuk menjadikan Ipoh sebagai bandaraya terbersih, destinasi pelancongan utama serta bandar rendah karbon.
Namun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan pelan tersebut bergantung kepada pelaksanaan yang memberi impak sebenar kepada kesejahteraan warga Bandaraya Ipoh.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan semangat kebersamaan, kesyukuran dan kecekalan, MBI mampu mencapai visi menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera menjelang tahun 2030.